POLITIK

Speaker Perlu Jadi Pengadil Yang Bijak, Adil - Johari

20/12/2025 01:58 PM

MELAKA, 20 Dis (Bernama) -- Peranan Speaker Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sebagai pengadil yang bijak, adil dan berkecuali perlu diperkukuh untuk memastikan institusi legislatif kekal dihormati serta keyakinan rakyat terus terpelihara. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata dewan perlu berfungsi sebagai 'house of democracy', iaitu platform utama demokrasi yang diamalkan secara tertib, sekali gus menjadi medium pendidikan kepada pemimpin masa depan. 

"Institusi legislatif ini sangat penting kerana ia melambangkan kedudukan kita di tengah-tengah urusan perundangan negara. Untuk itu, Speaker mesti dilihat sebagai pengadil yang adil, tidak memihak mana-mana parti politik dan bertindak secara saksama dalam memastikan keputusan yang dicapai mampu memberi manfaat kepada rakyat," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia - Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif di Banda Hilir, di sini hari ini

Terdahulu, persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Johari berkata dalam era kepercayaan awam terhadap institusi sering teruji, Speaker perlu menjadi benteng yang mempertahankan integriti dewan sebagai institusi semak dan imbang terhadap badan eksekutif. 

Setiap keputusan, teguran dan ruang bahas yang dibuat dari Kerusi Speaker adalah penyumbang kepada usaha menyuburkan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.

Beliau berkata persidangan selama empat hari itu bakal menjadi platform mengubah minda ahli dewan untuk memahami peranan sebenar mereka yang bukannya hanya berpolitik.

"Sebaik sahaja Ahli Dewan, seorang wakil rakyat tidak lagi mewakili parti atau kepentingan peribadi tetapi membawa suara rakyat yang diwakilinya. Suara politik harus berada di luar dewan kerana di dalammya, kita hanya bincang tentang rakyat tanpa mengira latar belakang parti," katanya.

Di samping itu, inti pati perbincangan antara lain mencari keseragaman dalam pemahaman dan amalan antara negeri memandangkan Malaysia mempunyai negeri dengan latar belakang demografi berbeza.

"Kita mahu memastikan keseragaman tentang peranan dewan adalah selari, sama ada di Johor, Kelantan, Pahang atau mana-mana negeri lain kerana prinsip demokrasi yang diamalkan mesti difahami secara sama di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan