POLITIK

BN Sedia Lakukan Penjenamaan Parti Seiring Perkembangan Semasa - Ahmad Zahid

21/12/2025 02:15 PM

BUTTERWORTH, 21 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) bersedia untuk melakukan penjenamaan semula atau membentuk satu entiti baharu selaras dengan perkembangan landskap politik semasa dan kekangan peruntukan perlembagaan gabungan itu.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN memandangkan perlembagaan gabungan yang digubal sejak 51 tahun lepas menetapkan sebarang perubahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan sebulat suara semua parti komponen.

“Kemasukan parti-parti Friends of BN atau dikenali sebagai ahli bersekutu BN untuk menjadi ahli teras tidak dapat dibuat disebabkan oleh kekangan pada Perlembagaan BN itu.

“Tiba masanya setelah kita mengadakan perbincangan dalam Dewan Tertinggi BN, sama ada untuk melakukan penjenamaan semula atau mempunyai satu bentuk entiti yang berbeza daripada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R S Thanenthiran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau menghargai ketaatsetiaan dan kesabaran rakan-rakan pimpinan dalam Friends of BN sehingga perubahan dalam BN dilakukan.

BN hanya mempunyai empat parti teras, iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala Friends of BN berada dalam kategori parti bersekutu.

Mengenai status MIC dalam BN, beliau berkata setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan parti itu, walaupun tersebar salinan surat berhubung permohonan semula parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Kita tahu bahawa MCA dan MIC berada dalam perikatan ketika kemerdekaan dituntut dan BN yang mempunyai sejarah tujuh dekad. 

“Kalau kepimpinan sekarang memutuskan sebaliknya kerana perwakilan telah memberikan kuasa mutlak kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan, maka saya ingin mengulangi bahawa jika mereka (MIC) tidak dapat membuat keputusan, kami akan buat keputusan,” katanya.

Menyentuh pendirian MCA yang menyatakan ketidakselesaan bekerjasama dengan DAP, Ahmad Zahid berkata sebagai sebuah gabungan, BN sentiasa mengutamakan kepentingan parti-parti komponennya, termasuk dalam rundingan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan