KUALA NERUS, 21 Dis (Bernama) – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) bagi memperkukuh pembangunan sukan di Terengganu melalui sokongan kepakaran saintifik dan akademik.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam, berkata kerjasama itu mampu mengukuhkan jaringan serta keterlibatan yang produktif, sistematik dan lestari antara universiti dan agensi luar, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
“Kerjasama yang akan dijalankan bersama MSNT dan TPCT adalah bersifat menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek termasuk penempatan latihan industri, penyediaan perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi kepada atlet di bawah seliaan MSNT serta TPCT melalui Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di UniSZA.
“Ia turut melibatkan penawaran khidmat nasihat profesional serta perundingan dalam bidang sains kesihatan, sains sukan dan pembangunan atlet,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU di sini hari ini.
MoU berkenaan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Hishamuddin Abdul Karim, dan ditandatangani oleh Fadzli bagi pihak UniSZA, manakala MSNT diwakili Pengarahnya Ahmad Shahrizal Yahaya, serta TPCT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.
Sementara itu, Hishamuddin berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja memperkukuh peranan institusi akademik dalam pembangunan sukan, malah membuka ruang lebih luas kepada aktiviti penyelidikan, peningkatan prestasi atlet serta pengembangan kepakaran sains sukan di negeri ini.
“Kami berpandangan pembangunan sukan tidak boleh lagi bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya perlu disokong pendekatan saintifik, penyelidikan berasaskan bukti serta kepakaran multidisiplin.
“Sehubungan itu, penglibatan institusi pengajian tinggi seperti UniSZA amat penting dalam membentuk ekosistem sukan berprestasi tinggi, khususnya dalam aspek sains sukan, kesihatan atlet dan pembangunan bakat belia secara holistik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial