KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.
"Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos," katanya.
Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapa hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Jan 2024.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial