SEOUL, 22 Dis (Bernama-Yonhap) -- Parlimen Korea Selatan pada Isnin menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat punca sebenar nahas pesawat Jeju Air tahun lalu yang mengorbankan 179 nyawa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pada 29 Dis tahun lalu, sebuah pesawat Jeju Air yang dalam penerbangan dari Bangkok terbabas dari landasan sebelum berlanggar dengan tembok konkrit dan terbakar ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer di selatan Seoul, selepas insiden pelanggaran burung.
Jawatankuasa yang dianggotai 18 ahli itu dan akan beroperasi sekurang-kurangnya selama 40 hari akan meneliti faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada nahas berkenaan, termasuk insiden pelanggaran burung, kewujudan tembok konkrit yang dilanggar pesawat serta kemungkinan kecacatan pesawat.
Jawatankuasa itu juga akan menyiasat sama ada wujud sebarang cubaan menutup fakta dalam siasatan kerajaan terhadap nahas berkenaan.
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat selepas kerajaan menangguhkan rancangan untuk mengumumkan keputusan sementara siasatan awal bulan ini.
Ahli keluarga mangsa tragedi itu sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap siasatan kerajaan, sambil mempersoalkan ketelusan dan kredibiliti serta menggesa satu siasatan bebas dijalankan. -- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial