Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) - Infrastruktur digital Malaysia yang kukuh serta kestabilan politik dan dasar kerajaan telah memacu pelaburan teknologi dan digital ke dalam negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kejayaan inisiatif infrastruktur Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) telah menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan selanjutnya, menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pusat data dan pelaburan digital lain.
“Dengan JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2, program gentian optik negara telah membuahkan hasil yang luar biasa. Kosnya agak tinggi, tetapi kami melihatnya sebagai pelaburan untuk rakyat,” katanya kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Temu bual itu diadakan bersama Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak, dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi, M. Saraswathi.
Fahmi berkata JENDELA yang dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025) adalah bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital Malaysia dan mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G.
Inisiatif bernilai RM21 bilion itu yang dibiayai bersama oleh Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemain industri bakal menyediakan akses jalur lebar ke seluruh negara, meningkatkan kualiti rangkaian 4G dan menghentikan perkhidmatan 3G secara berperingkat.
“Ini telah meletakkan Malaysia di kedudukan baik untuk menjadi destinasi pelaburan yang menarik,” katanya.
Beliau berkata beberapa firma antarabangsa, termasuk syarikat keselamatan siber telah membuka operasi serantau mereka di sini, antaranya BlackBerry dari Kanada yang mengembangkan ibu pejabatnya di Asia Pasifik di Malaysia dan Leonardo, syarikat pertahanan dan aeroangkasa dari Itali yang membuka pusat siber serantau di sini.
“Pelabur bukan sahaja melihat kepada infrastruktur dan kos, tetapi juga kestabilan politik dan dasar. Dasar kerajaan yang jelas adalah penting,” katanya, sambil menambah pendirian geopolitik Malaysia yang neutral dan pentadbiran yang mantap di bawah Kerajaan MADANI telah meningkatkan keyakinan pelabur.
Menurutnya, beliau yakin Malaysia akan terus dapat menarik lebih banyak pelaburan digital dan teknologi susulan persekitaran negara yang stabil, lokasi strategik dan infrastruktur digital yang berdaya tahan.
Transformasi Syarikat Telekomunikasi
Mengenai keadaan landskap industri yang berubah-ubah, Fahmi berkata, syarikat telekomunikasi sedang berkembang melangkaui ketersambungan asas untuk menyediakan perkhidmatan nilai tambah yang inovatif.
Beliau memberi contoh transformasi Telekom Malaysia (TM) daripada penyedia telekomunikasi tradisional kepada syarikat dipacu teknologi, yang mana katanya, mencerminkan masa depan sektor yang lebih luas dengan infrastruktur berasaskan gentian membentuk asas manakala perkhidmatan dan penyelesaian menjadi pembeza utama.
“TM unik, kerana banyak komunikasi kerajaan yang selamat dikendalikan oleh TM. Tetapi mereka juga mempunyai banyak teknologi dan penyelesaian baharu yang boleh digunakan untuk industri ini,” katanya.
Menurutnya, syarikat telekomunikasi tidak lagi boleh bergantung kepada perkhidmatan telefoni dan data asas sebaliknya mereka perlu memahami segmen pelanggan dan membangunkan perkhidmatan yang sesuai dengan gaya hidup dan keperluan industri.
Beliau berkata pelancaran 5G Malaysia mencatatkan kemajuan pesat susulan peralihan daripada rangkaian borong tunggal kepada model rangkaian dwi, menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna sambil menggalakkan persaingan yang sihat.
Setakat ini, rangkaian 5G pertama telah mencapai lebih 82.4 peratus liputan kawasan berpenduduk, manakala rangkaian kedua oleh UMobile telah mencapai kira-kira 57 peratus dalam masa beberapa bulan sahaja.
"Ini dicapai hanya dalam masa tiga, empat bulan. Jadi itu agak pantas. Saya lihat pada tahun 2026, akan ada lebih banyak kerjasama dan kolaborasi," katanya.
Fahmi berkata, dengan kebanyakan infrastruktur dikongsi, persaingan pada tahun-tahun akan datang akan kurang didorong oleh liputan tetapi sebaliknya oleh inovasi dan penawaran perkhidmatan yang memanfaatkan sepenuhnya keupayaan 5G.
"(Mengenai) anggaran bilangan terkini pengguna 5G di Malaysia, daripada 45 juta akaun, mungkin kira-kira 60 peratus adalah pengguna 5G. Ini hebat, memandangkan sesetengah negara seperti Korea Selatan mengambil masa empat atau lima tahun untuk mencapai kira-kira 60 peratus. Kita mengambil masa kira-kira setahun," katanya.
Beliau berkata penggunaan pantas 5G oleh Malaysia juga telah meletakkan negara mendahului banyak negara lain.
“Malaysia mempunyai antara kelajuan internet terpantas di rantau ini dan antara yang termurah di dunia. Ini menjelaskan mengapa kita merupakan salah satu masyarakat yang paling terhubung secara digital.
"Sesetengah aplikasi, seperti WhatsApp, mempunyai penembusan lebih 94 peratus. Salah satu yang tertinggi di rantau ini, jika bukan di dunia," kata Fahmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial