AM

Anwar Mahu Semua Pihak Hormati Keputusan Mahkamah, Tidak Keruhkan Suasana

23/12/2025 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghormati keputusan mahkamah berhubung isu titah adendum serta tidak mengeruhkan suasana atau menambahkan ketegangan.

Beliau berkata semua pihak wajar menghormati keputusan dibuat hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.

“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim,” kata Anwar. 

Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan