JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bongkar Makmal Proses Syabu Dalam Kebun Durian, 1.2 Tan Dadah Dirampas

23/12/2025 02:27 PM

BALIK PULAU, 23 Dis (Bernama) -- Polis membongkar makmal haram memproses syabu dalam sebuah kebun durian di Jalan Teluk Bahang, di sini selepas menahan tiga lelaki warga asing dan merampas 1.2 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM38 juta dalam siri serbuan di Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan maklumat risikan, sepasukan polis JSJN Bukit Aman menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Gurdwara, George Town pada 20 Dis dan menahan tiga lelaki warga asing berusia 32 hingga 38 tahun.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun cuba melarikan diri dan dia telah terjatuh dari tingkat lima sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan menjumpai 26 kilogram (kg) syabu serta pelbagai peralatan membungkus dadah.

"Polis kemudian menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Windmill, Jalan Gurdwara dan  merampas 474 kg syabu. Premis itu dipercayai dijadikan lokasi untuk menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedarkan," katanya kepada pemberita di kebun durian yang dijadikan makmal memproses dadah di sini hari ini.

Beliau berkata polis seterusnya menyerbu kebun durian yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama sekali gus membongkar sebuah makmal memproses syabu dalam skala besar dan merampas 60 kg serbuk syabu, ketulan kristal disyaki syabu (54 kg), cecair syabu (574 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.

Hussein berkata jumlah keseluruhan syabu yang dirampas itu adalah seberat 1.2 tan dengan nilai pasaran RM38 juta.

Beliau berkata siasatan polis mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan berkenaan sejak Ogos lepas dengan tiga lelaki yang ditahan berperanan sebagai ahli kimia yang dibawa masuk bagi menghasilkan dadah tersebut.

Menurut beliau, lelaki tempatan itu pula berperanan sebagai koordinator menguruskan hal lokasi, tempat memproses syabu dan juga urusan tempat tinggal serta pengangkutan untuk tiga ahli kimia berkenaan dengan ketua sindiket berada di luar negara.

“Mereka telah membuat pagar tiga lapis di kebun durian berkeluasan 32 ekar (12.9 hektar) itu yang disewa sejak September lepas pada harga RM80,000 setahun, malah mereka juga telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling kawasan tersebut," katanya sambil menambah suspek turut membuat sambungan elektrik secara haram di kebun durian itu.

Beliau berkata sindiket memproses dan mengedar dadah antarabangsa itu membawa masuk bahan kimia serta peralatan memproses syabu dari luar negara dengan Malaysia dijadikan tempat memproses sebelum bahan terlarang itu diedar untuk pasaran tempatan serta luar negara.

 Hussein berkata ketua sindiket memberi arahan dari luar negara untuk semua kegiatan mereka termasuk segala urusan pengedaran dan penghantaran bekalan dadah serta bahan kimia.

"Sindiket itu turut menggunakan beberapa kaedah untuk menghasilkan dadah berkenaan termasuk dalam bentuk cecair, serbuk dan kristal dengan ia dihasilkan mengikut lokasi syabu itu diedarkan.

"Kami juga berjaya mengesan taktik sindiket itu, yang juga pertama di negara kita, iaitu dengan cara melarutkan syabu ke dalam helaian fabrik sebelum dihantar melalui syarikat kurier antarabangsa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya mengesan tujuh bungkusan telah dihantar ke Australia dan Hong Kong dengan setiap satunya seberat 2 kg dan pihaknya percaya penerima bungkusan tersebut menggunakan bahan khas untuk mendapatkan syabu yang telah dilarutkan di dalam helaian fabrik berkenaan.

Hussein berkata polis turut menyita sebuah pacuan empat roda, sebuah mesin pengangkat, sebuah kereta Toyota Vios dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) yang kesemuanya bernilai RM181,000 dengan ketiga-tiga mereka positif syabu manakala seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah di negara asal.

Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari hingga 27 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan