KUALA NERUS, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM2.8 juta dalam pelbagai operasi dilaksanakan tahun ini.
Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata sebanyak 57,326 siri pemeriksaan ke atas 17,923 premis perniagaan di seluruh negeri termasuk pasar raya, pusat beli-belah, pasar harian, kedai runcit, restoran dan lain-lain dijalankan.
Beliau berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM353,375 dan denda sebanyak RM173,200 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 2021, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Timbang Sukat 1972 bagi tempoh sama.
"Sebanyak 20,383 siri pemeriksaan telah dilaksanakan di premis di Kuala Terengganu, diikuti Dungun (13,664 siri), Besut (10,658 siri), Kemaman (7,472 siri) dan Hulu Terengganu (5,149 siri)," katanya pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu ketika melancarkan Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025, Mohd Mufsi berkata sebanyak sembilan barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah China, tomato, lada benggala hijau, cili merah, ubi kentang import, bawang merah besar dan bawang kuning besar disenaraikan dalam skim tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial