AM

Daftar Pemilih Tambahan November 2025 Dibuka Untuk Semakan - SPR

23/12/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Daftar Pemilih Tambahan Bulan November Tahun 2025 (DPT BLN11/2025) dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 21 Jan 2026, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus. 

Beliau berkata DPT BLN11/2025 yang diperaku pada 22 Dis 2025 dan diwartakan hari ini, mengandungi 40,482 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Nov 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu. 

"Selain itu, 14,131 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,303 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Khairul Shahril berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Dalam pada itu, SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Nov 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN11/2025.

“Sekiranya pemilih mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN11/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

"Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk serahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN11/2025.

Sebarang pertanyaan berkaitan urusan semakan DPT BLN11/2025, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my atau menghubungi SPR di talian 03-8892 7218, atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan