BALING, 25 Dis (Bernama) -- Seorang pengusaha kuih tradisional di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Charuk Kelian di sini membuktikan peranan KRT kini bukan sekadar memelihara keselamatan dan perpaduan, malah berupaya menjadi pemangkin peningkatan ekonomi komuniti setempat.
Pengusaha kuih loyang Siti Nasroya Hashim, 51, berkata beliau berjaya menjana pendapatan sehingga RM30,000 pada Hari Raya Aidilfitri hasil sokongan berterusan program ekonomi yang digerakkan KRT Kampung Charuk Kelian.
Beliau berkata penglibatan itu bermula pada 2015 apabila memulakan perniagaan kuih tradisional secara kecil-kecilan di rumahnya dengan pendapatan kasar sekitar RM1,000 sebulan.
“Saya bermula dengan modal sendiri dan menghasilkan kuih dalam jumlah terhad, namun penyertaan dalam program bimbingan serta pameran anjuran KRT membuka peluang pasaran yang lebih luas,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Charuk Kelian hari ini.
Siti Nasroya berkata walaupun KRT itu terletak di kawasan pedalaman, peluang menyertai pameran di pelbagai lokasi termasuk sempena Sambutan Minggu Perpaduan membantu memperkenalkan produk keluarannya kepada orang ramai.
Beliau berkata sambutan yang diterima semakin menggalakkan apabila produk kuih tradisional yang dihasilkan mula dikenali dan mendapat tempahan daripada pelanggan dari dalam dan luar daerah.
Selain kuih loyang berperisa manis dan pedas, beliau turut menghasilkan kuih peneram dan muruku bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Siti Nasroya berkata kejayaan perniagaan itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila beliau menggaji lima pekerja tetap yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah.
“Ketika musim perayaan, lebih banyak penduduk sekitar datang membantu dan ini memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kampung Charuk Kelian Mohd Yusof Yahaya berkata KRT berkenaan ditubuhkan pada penghujung 2011 sebelum diminta mewujudkan projek ekonomi berasaskan kuih tradisional setahun kemudian.
Beliau berkata projek ekonomi itu bermula di rumah penduduk dengan modal sendiri sebelum KRT memainkan peranan membawa pengusaha terlibat menyertai pelbagai program dan pameran bagi mempromosikan produk masing-masing.
Mohd Yusof berkata pada tahun lepas, KRT Kampung Charuk Kelian menerima peruntukan RM30,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara menerusi Program KRT Progresif.
Beliau berkata peruntukan berkenaan digunakan untuk membeli peralatan bagi mempercepatkan proses penghasilan produk, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran usahawan kecil.
“Apabila produk semakin dikenali dan permintaan meningkat, pengusaha makanan turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan ibu tunggal, suri rumah dan warga emas di kawasan sekitar.
“Selain produk keluaran Siti Nasroya, KRT Kampung Charuk Kelian turut menghimpunkan pelbagai pengusaha makanan tradisional lain seperti bahulu, putu kacang, mazola, biskut kelapa, kuih karas serta kerepek pisang,” katanya.
Mohd Yusof berkata KRT itu juga merancang untuk menghasilkan produk makanan baharu seperti mi kuning yang kini masih di peringkat awal dan dijangka mampu merancakkan lagi ekonomi komuniti setempat pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial