EKONOMI

Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak Dan KL Dominasi Eksport Malaysia Pada November 2025

26/12/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur mendominasi eksport Malaysia, menyumbang 85.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pada November 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport bernilai RM135 bilion pada November 2025, meningkat sebanyak RM8.9 bilion atau 7.0 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 39.2 peratus, diikuti Johor (21.1 peratus), Selangor (15.2 peratus), Sarawak (6.7 peratus) dan Kuala Lumpur (3.3 peratus), katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM6.9 bilion), Johor (+RM5.2 bilion), Perak (+RM699.1 juta), Sabah (+RM36.3 juta) dan Negeri Sembilan (+RM17.7 juta).

Bagaimanapun, katanya nilai eksport menurun di Selangor sebanyak RM1.4 bilion, Sarawak (-RM969.8 juta), Pahang (-RM658.8 juta), Labuan (-RM445.4 juta), Kuala Lumpur (-RM348.0 juta), Kedah (-RM272.5 juta), Kelantan (-RM266.2 juta), Terengganu (-RM66.9 juta), Perlis (-RM23.9 juta) dan Melaka (-RM4.5 juta). 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata import pada November 2025 meningkat RM17.6 bilion (+15.8 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2024.

Peningkatan import disebabkan import yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM9.4 bilion), Selangor (+RM5.0 bilion), Kuala Lumpur (+3.2 bilion), Johor (+RM707.8 juta), Perak (+RM681.3 juta), Melaka (+RM398.3 juta) dan Sabah (+RM165.2 juta).

Bagaimanapun, katanya nilai import menurun di Negeri Sembilan sebanyak RM368.3 juta, Labuan (-RM266.8 juta), Sarawak (-RM193.7 juta), Pahang (-RM140.7 juta), Kelantan (-RM91.3 juta), Perlis (-RM57.4 juta), Kedah (-RM48.6 juta) dan Terengganu (-RM27.3 juta). 

Pulang Pinang mendominasi import Malaysia dengan sumbangan sebanyak 28.6 peratus, diikuti Selangor (26.2 peratus), Johor (18.3 peratus), Kuala Lumpur (9.6 peratus) dan Kedah (4.9 peratus).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan