JENAYAH & MAHKAMAH

Najib Didapati Bersalah Atas Semua 25 Pertuduhan Membabitkan Dana 1MDB RM2.3 Bilion

26/12/2025 06:12 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib, yang mengenakan sut biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding. Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor,  anak-anak perempuan, Nooryana Najwa dan Puteri Norlisa serta anak-anak lelaki, Datuk Mohd Nazifuddin dan Datuk Mohd Nizar.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

Bekas Perdana Menteri itu pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh tahun, menarik perhatian antarabangsa, melibatkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan pada peringkat pendakwaan.

Antara saksi utama bagi pihak pendakwaan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, dan Pegawai Penyiasat SPRM Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.

Pada 30 Okt 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Najib untuk mengemukakan pembelaan terhadap semua pertuduhan.

Kes pembelaan didengar dari 2 Dis 2024 hingga 6 Mei 2025 selama 58 hari, dengan 26 saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi utama bagi pihak pembelaan termasuk bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin,Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, adik kepada Sultan Terengganu, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pendengaran hujah lisan dalam perbicaraan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion itu diselesaikan pada 4 Nov selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menamatkan hujah terakhir masing-masing.

Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan