KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Sebanyak 313,529 saman melibatkan pelbagai jenis kenderaan dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) di ibu negara dari 1 Okt lepas hingga semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menyifatkan jumlah yang banyak itu amat mengecewakan memandangkan pihaknya telah melaksanakan kempen advokasi selama sebulan pada September lepas sebelum penguatkuasaan penuh bermula pada 1 Okt.
"Sebanyak 76,000 notis dikeluarkan sepanjang tempoh advokasi bagi memastikan masyarakat benar-benar patuh kepada undang-undang, termasuk pematuhan terhadap peraturan lalu lintas sekecil-kecilnya," katanya pada sidang media sempena Majlis Hi-Tea dan Apresiasi Media Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata kesalahan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 200,079 saman diikuti mengabaikan isyarat lalu lintas sebanyak 79,795 saman.
Antara kesalahan lain yang direkodkan ialah tiada lesen memandu (8,281), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (4,847), pemakaian helmet tidak kemas (1,661) dan tidak berhenti di lampu isyarat (1,658).
“Selain itu, melanggar garisan putih mencatatkan 1,433 saman, parkir di garisan zebra (797) serta kesalahan melibatkan pejalan kaki, khususnya tidak menggunakan jejantas lintasan pejalan kaki (346),” katanya.
Beliau berkata daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, kereta merekodkan jumlah tertinggi iaitu 246,519, diikuti penunggang motosikal sebanyak 56,327 saman.
Fadil berkata statistik itu menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya masih rendah walaupun melibatkan peraturan asas.
“Angka ini menjadi indikator kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap operasi yang sedang dan akan dilaksanakan selepas ini.
“Sikap mementingkan diri dan kurang toleransi dalam kalangan pengguna jalan raya masih berleluasa dan menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur,” katanya.
Sehubungan itu, Fadil berkata Op PUU akan terus dilaksanakan di Kuala Lumpur bagi memastikan masyarakat benar-benar mematuhi undang-undang lalu lintas.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya mengambil perhatian serius terhadap penguatkuasaan berterusan itu dan menggesa pihak media membantu menyebarluaskan maklumat agar kesedaran awam dapat dipertingkatkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial