POLITIK

Abu Bakar Tekad Kekal Persefahaman Dalam Kalangan Adun PN Di Perlis

28/12/2025 07:32 PM

ARAU, 28 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis yang baharu Abu Bakar Hamzah bertekad untuk mengekalkan persefahaman dalam kalangan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di negeri itu yang terdiri daripada PAS dan Bersatu.

ADUN Kuala Perlis itu juga menyambut baik titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu semua ADUN PN di negeri itu kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri dan rakyat.

"Tidak timbul isu sama ada PAS atau Bersatu lebih atau kurang baik. Apa yang penting saya ajak semua kakitangan awam negeri dan rakyat mendoakan agar Perlis setanding pembangunannya dengan negeri lain.

"Dari segi politik kita akan kekal dalam pasukan PN. PAS dan Bersatu adalah sebuah keluarga, apa juga perbalahan akan diselesaikan dalam masa terdekat dan saya amat berharap hubungan PN kekal baik hingga habis penggal," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis baharu di Bilik Hijau, Istana Arau di sini hari ini.

Abu Bakar berkata beliau juga akan meneruskan dasar serta hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan Perlis terus menerima bantuan sewajarnya bagi memajukan negeri itu.

Mengenai barisan exco kerajaan negeri, beliau berkata pihaknya akan melakukan sedikit rombakan dan akan memastikan agihan portfolio adalah seimbang antara ADUN PAS dan Bersatu.

"Selepas selesai beberapa perkara akan diadakan rombakan exco dan kita akan seimbangkan sebab PN adalah gabungan PAS dan Bersatu dan insya-Allah akan letakkan kesamarataan.

"Saya juga menjunjung kasih kepada Tuanku kerana memberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar kepada saya untuk menerajui kepimpinan kerajaan Perlis dan saya yakin adanya kawan-kawan (dalam pentadbiran negeri) dapat membantu meningkatkan pembangunan di Perlis," katanya.

Abu Bakar turut menyatakan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli atas jasa beliau menerajui Perlis selama tiga tahun sebelum meletakkan jawatan secara rasmi pada 25 Dis lepas atas faktor kesihatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan