AM

KESEDAR Hantar Lima Peserta Lanjut Kursus TVET Di China

29/12/2025 07:26 PM

GUA MUSANG, 29 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menghantar lima peserta untuk menjalani latihan di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET@KESEDAR) di Chengdu, China pada bulan Januari depan.

Pengurus Besar KESEDAR Wan Muhd Rahimi Wan Salleh berkata mereka akan menyertai Kursus Operasi Pemesinan Kawalan Berangka Komputer atau Computer Numerical Control (CNC) selama tiga bulan sebelum pulang ke tanah air dan mula bekerja di Tianma Precision Sdn Bhd yang terletak di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor. 

Beliau berkata mereka adalah sebahagian peserta yang telah terpilih untuk mengikuti Latihan Sambil Bekerja atau On-The-Job Training (OJT) di China sebagai lanjutan daripada latihan di Shah Alam, Selangor setelah berjaya dalam temu duga syarikat berkenaan pada 4 Nov lepas. 

"Kursus CNC di bawah TVET@KESEDAR tahun ini dengan Kolej Sei Ryu Sha sebagai rakan strategik telah bermula pada 21 Sept hingga 20 Nov lepas, melibatkan 30 peserta dari Wilayah KESEDAR. 

"Semasa menjalani kursus, peserta telah mengikuti temu duga dan diberi penempatan bekerja di Hicom Diecasting dan Industry Quality Management (IQM) di Shah Alam sebelum dipanggil untuk mengikuti temu duga bagi OJT di Chengdu, China dan akan menerima bayaran gaji berserta elaun yang sepatutnya dalam tempoh tersebut," katanya kepada pemberita selepas Kunjungan Mesra sempena Pencapaian Peserta TVET@KESEDAR di Ibu Pejabat KESEDAR di sini hari ini. 

Wan Muhd Rahimi juga berkata TVET@KESEDAR telah dilaksana sejak 2022 dan setakat ini, seramai 186 peserta berjaya menamatkan kursus serta bekerja dalam pelbagai bidang termasuk perpaipan, pemasangan paip gas, kimpalan 3G, pembuatan kek dan pastri, jahitan pakaian wanita, pemasangan perancah, pemasangan fiber optik, penyaman udara serta pengudaraan mekanikal. 

Sementara itu, Ahmad Solihin Che Maari, 20, berkata kemahiran yang diperoleh melalui kursus TVET itu akan digunakan sepenuhnya bagi membantu meringankan beban kewangan kedua ibu bapanya sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga. 

"Sebelum menyertai kursus ini, saya bekerja sendiri sebagai mekanik di Kampung Pasir Era, Kuala Krai dengan pendapatan yang tidak menentu. 

"Alhamdulillah, dengan peluang yang diberikan ini saya dapat menambah kemahiran baharu di samping menceburi bidang pekerjaan yang lebih baik," katanya. 

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan