KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Pelajar yang kurang membaca cenderung mencatat prestasi akademik yang lebih rendah, sekali gus menekankan keperluan usaha khusus bagi memperkukuh budaya membaca di Malaysia, menurut tinjauan terkini oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO).
Tinjauan “Budaya Membaca Dalam Kalangan Pelajar Malaysia”, yang melibatkan 1,168 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, mendapati wujud korelasi positif yang kuat antara kekerapan membaca dan pencapaian akademik.
FINCO dalam kenyataan memaklumkan, kajian itu berikutan kebimbangan terhadap penurunan skor penilaian antarabangsa, sekali gus menguatkan keperluan untuk pelaksanaan intervensi berterusan bagi memupuk tabiat membaca di luar keperluan akademik.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa walaupun 94.64 peratus rakyat Malaysia celik huruf, Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 menunjukkan Malaysia berada di bawah purata antarabangsa dalam kemahiran membaca, dengan skor menurun kepada 388 berbanding 415 pada 2018 dan kurang separuh pelajar mencapai tahap minimum kebolehan membaca.
Tinjauan berkenaan turut mendedahkan bahawa walaupun kebanyakan pelajar menunjukkan tabiat membaca yang baik didorong oleh tuntutan sekolah, jurang ketara masih wujud dalam pembacaan santai yang diusahakan sendiri, dengan lebih satu perempat responden menyatakan mereka tidak membaca sebagai hobi peribadi.
Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata keputusan itu menekankan kepentingan menanam minat membaca di luar bilik darjah.
“Adalah menggembirakan melihat pelajar tekun membaca bahan akademik, namun kita juga perlu menanam rasa ingin tahu dan keseronokan membaca di luar kelas. Apabila membaca menjadi tabiat pilihan, bukan sekadar tugasan, ia membuka ruang kepada kreativiti, empati dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Tinjauan itu turut menyoroti jurang sosioekonomi dalam tabiat membaca, apabila pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dikenal pasti melalui penerimaan makanan percuma di sekolah, dua kali ganda lebih cenderung membaca jarang berbanding rakan sebaya dari keluarga berpendapatan tinggi, selain kurang membaca untuk keseronokan.
Akses terhad kepada buku di rumah dikenal pasti sebagai faktor penyumbang, dengan hampir satu daripada tiga pelajar melaporkan mereka memiliki kurang daripada 10 buah buku di rumah.
Analisis lanjut menunjukkan bahawa pelajar yang kerap membaca biasanya berasal dari rumah dengan lebih 20 buah buku, manakala mereka yang jarang membaca mempunyai akses terhad kepada bahan bacaan. Selain itu, murid sekolah rendah yang dibacakan buku lebih daripada empat kali seminggu menunjukkan kecenderungan paling kuat untuk membentuk tabiat membaca yang baik sejak awal usia.
Kajian itu juga mendapati bahawa platform digital boleh memainkan peranan positif dalam memupuk minat membaca, apabila kira-kira 73 peratus pelajar yang kerap membaca melaporkan membaca secara harian menggunakan peranti digital, berbanding 53 peratus bagi pelajar yang jarang membaca.
Ketua Pegawai Eksekutif FINCO, Clare Walker, berkata membaca digital semakin membentuk cara pelajar Malaysia mengakses maklumat.
“Apabila pelajar semakin bergantung kepada skrin untuk pembelajaran dan hiburan, matlamat kita adalah menanam tabiat yang menggalakkan rasa ingin tahu, pemahaman dan pemikiran kritis, membolehkan mereka menavigasi maklumat dengan bijak dan kreatif,” katanya.
Berdasarkan penemuan itu, laporan FINCO menekankan empat fokus utama untuk memupuk budaya membaca yang kukuh di negara ini, iaitu meningkatkan minat membaca melalui platform digital dan bahan bacaan relevan secara budaya, memperluas akses kepada sumber bacaan fizikal dan digital, memperkukuh tabiat membaca di rumah melalui penglibatan ibu bapa dan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab untuk meningkatkan literasi digital.
Laporan itu menegaskan bahawa usaha bersepadu melibatkan sekolah, keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan membaca kekal sebagai kemahiran sepanjang hayat dan asas kejayaan akademik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial