MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Seorang anggota tentera darat daripada Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Sungai Udang, di sini mengalami kecederaan semasa melakukan latihan penerjunan di Padang Encore, Klebang pada Ahad lepas.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun anggota terlibat, Kpl Syed Mohd Azayuzil Afifi Syed Mohd Aziz, 32, berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan rapi serta pemantauan lanjut di Hospital Besar Melaka.
Dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, anggota terbabit sedang melaksanakan penerjunan bebas bagi sortie kelima bersempena dengan persiapan Pertunjukan Hari Ulang Tahun TDM ke-60.
"Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perubahan arah angin yang berlaku secara tiba-tiba semasa fasa akhir pendaratan menyebabkan anggota tidak dapat mendarat dengan sempurna (hard landing).
"Pegawai perubatan di lokasi telah memberikan bantuan kecemasan serta-merta sebelum anggota dikejarkan ke hospital," menurut TDM.
TDM memaklumkan kebajikan anggota dan keluarganya ialah keutamaan mereka dan pihaknya akan memastikan segala bantuan serta sokongan sewajarnya diberikan sepanjang tempoh pemulihan anggota berkenaan.
Dalam pada itu, TDM turut memaklumkan bahawa lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca terperinci insiden itu telah ditubuhkan dalam usaha menambah baik prosedur keselamatan latihan pada masa hadapan.
"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan TDM memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan segera buat anggota tersebut serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam," menurut TDM.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menerusi laman sosial Facebooknya berkata beliau berkesempatan menziarahi Syed Mohd Azayuzil Afifi di Hospital Melaka pada petang ini.
Beliau berkata anggota tentera itu mengalami patah tulang rusuk kanan serta cedera di leher ketika menjalani latihan berkenaan.
”Semoga beliau dikurniakan kesembuhan yang segera dan dipermudah segala urusan rawatan. Terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan demi negara,” katanya.
Terdahulu, rakaman berdurasi tujuh saat tular dalam media sosial yang merekodkan insiden seorang anggota tentera yang mengendalikan payung terjun dipercayai cedera ketika melakukan pendaratan di kawasan tanah lapang di Encore, Klebang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial