KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Cypark Resources Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd telah menyelesaikan penebusan awal dan penuh Sukuk Musharakah Kekal Tranche 1 berjumlah RM235 juta hari ini.
Syarikat penyedia penyelesaian bersepadu tenaga boleh baharu dan alam sekitar itu berkata ia adalah selaras dengan terma kemudahan tersebut dan susulan kelulusan daripada pemegang sukuk yang diperoleh pada 7 Okt, 2025.
“Penebusan ini menunjukkan komitmen Cypark untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada pemegang sukuk dan mewakili langkah penting dalam transformasi strategik serta kewangan kumpulan yang berterusan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha pengoptimuman lembaran imbangan Cypark yang lebih luas, susulan pelaksanaan pembiayaan semula seluruh kumpulan yang akan membolehkan kumpulan menyelesaikan struktur pembiayaan legasi dan mengukuhkan profil modal jangka panjangnya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ami Moris berkata penebusan penuh dan awal itu mencerminkan kemajuan yang dicapai oleh kumpulan itu bagi mengukuhkan kedudukan Cypark sebagai sebuah organisasi, sekali gus meningkatkan komitmen untuk memenuhi tanggungjawabnya.
“Penebusan ini merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah program pembiayaan semula kami dengan MBSM Bank berjumlah RM1.3 bilion, bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan keseluruhan kumpulan dan menyokong fasa pelaksanaan yang berdisiplin dan pertumbuhan jangka panjang seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial