DUNIA

Bangladesh Kenang Khaleda Zia Sebagai Pejuang Bersemangat Waja, “Pelindung” Negara

30/12/2025 09:57 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 30 Dis (Bernama) -- Bangladesh mengenang perdana menteri wanita pertamanya, Begum Khaleda Zia yang meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Selasa, sebagai seorang pemimpin yang bangkit menentang pelbagai cabaran dan muncul sebagai pejuang demokrasi yang bersemangat waja.

Ketua Penasihat kerajaan interim Muhammad Yunus mengumumkan tempoh berkabung negara selama tiga hari bermula Rabu serta mengimbau kembali sumbangan Khaleda terhadap pembangunan Bangladesh.

Yunus berkata dengan pemergian Khaleda, Bangladesh telah “kehilangan seorang pelindung negara yang hebat”.

Khaleda, anak kepada ahli perniagaan Iskandar Majumdar dan aktivis sosial Taiyaba Majumdar, dilahirkan pada 1945 di Jalpaiguri, Bengal yang ketika itu berada di bawah pemerintahan British.

Diberi nama Khaleda Khanam, beliau merupakan anak ketiga dalam keluarga yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki dan dikenali dengan nama panggilan “Putul”.

Beliau berkahwin dengan Ziaur Rahman pada 1960 dan mula terlibat secara langsung dalam kancah politik negara selepas kematian suaminya.

Zia, suami kepada Khaleda yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Turus Tentera Darat dan kemudian menjadi Presiden Bangladesh pada 1977, dibunuh dalam satu cubaan rampasan kuasa di bandar pelabuhan Chittagong pada 1981 ketika berusia 45 tahun.

Menjadi balu pada usia 36 tahun serta memimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diasaskan suaminya pada 1978 merupakan antara cabaran besar yang berjaya diatasi oleh bekas wanita pertama yang dahulunya bersifat pemalu itu untuk menjadi tokoh yang memberi inspirasi. 

Pada 1980-an, Khaleda berganding bahu dengan pelbagai kuasa politik termasuk Sheikh Hasina, anak kepada pemimpin Liga Awami dan bekas presiden Sheikh Mujibur Rahman, dalam gerakan yang menamatkan pemerintahan Leftenan Jeneral Hossain Mohammad Ershad pada 1990.

Namun, hubungan antara Khaleda dan Hasina kemudiannya bertukar menjadi seteru, dengan BNP dan parti-parti lain mengahadapi tindakan keras sepanjang 15 tahun pemerintahan Liga Awami sehingga Ogos 2024, apabila Hasina melarikan diri ke India selepas digulingkan dalam kebangkitan rakyat.

Khaleda berkhidmat sebagai perdana menteri selama dua penggal, dari 1991 hingga 1996 dan sekali lagi dari 2001 hingga 2006.

Beliau juga memegang jawatan perdana menteri selama kira-kira dua minggu pada 1996 selepas memenangi pilihan raya awal yang dicemari dengan pemulauan oleh pihak pembangkang.

Selepas itu, sistem kerajaan sementara yang tidak berpihak diperkenalkan bagi mengendalikan pilihan raya baharu pada Jun tahun yang sama.

Hasina memansuhkan sistem kerajaan sementara itu pada 2011, langkah yang mengukuhkan penentangan politik terhadap pemerintahannya serta menjejaskan kredibiliti pilihan raya pada 2014, 2018 dan 2024.

Khaleda percaya sistem kerajaan sementara yang berkecuali amat penting bagi menjamin demokrasi di Bangladesh.

“Tiga pilihan raya berturut-turut yang bebas dan adil telah diadakan di bawah kerajaan sementara yang berkecuali. Inovasi Perlembagaan yang unik ini memastikan peralihan kuasa secara aman,” katanya dalam ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2005.

Khaleda dipenjarakan pada 2018 atas pertuduhan rasuah yang menurut partinya bermotifkan politik dan bertujuan melemahkan pembangkang.

Legasi serta impak politik beliau dijangka terus dirasai untuk tempoh yang lama.

Khaleda turut dikenang kerana menyokong demokrasi pluralislik, mempromosikan pendidikan dan pembangunan negara, serta memperjuangkan pemerkasaan wanita.

“Peranan beliau dalam perjuangan menegakkan demokrasi, budaya politik berbilang parti dan hak rakyat Bangladesh akan terus dikenang,” kata Yunus.

Penganjur Parti Warga Nasional (NCP) Nahid Islam menyifatkan Khaleda sebagai inspirasi dalam perjuangan dan mengenangnya sebagai tokoh yang “tetap teguh dan tidak berkompromi meskipun berdepan tekanan politik berterusan , termasuk pendakwaan bermotif politik dan tindakan keras oleh pemerintah yang digambarkan sebagai autoritarian.

Persatuan Peguam Mahkamah Agung turut menyifatkan Khaleda sebagai pemimpin berprinsip dan “tokoh pelindung” kepada rakyat Bangladesh.

“Pada saat genting krisis politik ini, pemergiannya meninggalkan kekosongan besar. Kami berharap negara mampu menukar kesedihan ini kepada kekuatan,” kata presidennya, A.M. Mahbub Uddin Khokon.

Khaleda dilaporkan uzur dan menerima rawatan di Hospital Evercare, Dhaka.

Bagaimanapun, beliau masih berhasrat untuk terus aktif dalam politik dan pencalonannya diumumkan bagi kawasan Bogura-7 pada pilihan raya Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 12 Feb.

Anak lelakinya, Tarique Rahman, 60, kembali ke Bangladesh pada 25 Dis lalu selepas 17 tahun hidup dalam buangan di Britain.

Tarique dianggap sebagai bakal pemimpin baharu negara sekiranya BNP memenangi pilihan raya.

Parti NCP dan Jamaat-e-Islami, bekas rakan sekutu BNP, telah membentuk pakatan pilihan raya, namun Liga Awami pimpinan Hasina tidak dibenarkan bertanding susulan larangan terhadap aktivitinya.

Solat jenazah Khaleda akan diadakan di hadapan bangunan Parlimen di Dhaka pada Rabu, yang diisytiharkan sebagai cuti umum.

Jenazah beliau akan dikebumikan bersebelahan pusara suaminya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan