AM

Keadaan Banjir Di Tiga Negeri Tidak Banyak Berubah

31/12/2025 10:17 AM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Johor, Melaka dan Pahang pagi ini dilaporkan tidak banyak berubah, dengan jumlah mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal hampir sama berbanding semalam.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat hanya meningkat satu orang kepada 83 orang daripada 26 keluarga setakat 8 pagi ini,  berbanding 82 orang daripada 26 keluarga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata mereka ditempatkan di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak melibatkan 40 orang daripada 12 keluarga dan Dewan Serbaguna Kampung Tasek sebanyak 43 orang daripada 14 keluarga.

Beliau berkata tiada amaran hujan berterusan dikeluarkan di semua daerah setakat ini, dengan cuaca di Muar dan Mersing dilaporkan mendung manakala daerah lain cerah.

“Sungai Muar di Segamat melebihi paras bahaya iaitu di Buloh Kasap dengan bacaan 9.16 meter (m) dan Jeti Kampung Tekam 4.14m.

“Jalan Putting di Segamat dibuka kepada kenderaan berat sahaja manakala laluan terputus hubungan melibatkan Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing akibat cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak akibat jambatan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 36 orang daripada lapan keluarga pagi ini, menurut aplikasi InfoBencanaJKM.

Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Parit Perawas Benteng dan Kampung Tasek Benteng di Sungai Rambai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu.

Sementara itu di PAHANG, jumlah mangsa di daerah Rompin kekal 81 orang daripada 21 keluarga sejak petang semalam. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Setajam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan