JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Indonesia Maut Tertimbus Tanah Runtuh Di Bandar Penawar

31/12/2025 10:49 AM

KOTA TINGGI, 31 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam kira-kira tiga meter ketika menjalankan kerja-kerja menanam tangki kumbahan di Bandar Penawar di sini, semalam.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata mangsa berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, dalam kejadian di hadapan sebuah kilang yang masih dalam pembinaan itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1 tengah hari, sebelum sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar digegaskan ke lokasi kejadian.

“Terdapat dua pekerja perpaipan yang tertimbus, namun seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi mangsa tertimbus dalam tanah dianggarkan sedalam tiga meter.

“Pasukan operasi bertindak menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan tali, peralatan menggali serta bantuan excavator,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairul Sufian berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada 4 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 4.25 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan