KOTA BHARU, 31 Dis (Bernama) -- Lima wanita daripada dua keluarga yang mengaku bergaduh di Pasar Melor minggu lepas masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Rais Imran Hamid membuat keputusan itu selepas Rozita Ramli, 47, bersama anaknya, Aleeya Maisara Hasbullah,19, serta menantu iaitu Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, dan Siti Sara Suaini, 30, dengan adiknya, Siti Mastura Suaini, 28, mengaku bersalah.
Rais Imran turut memerintahkan agar mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pasar Melor di sini, yang merupakan tempat awam, pada kira-kira 2.30 petang 25 Dis lepas mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Siti Atikah Abd Halim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial