DUNIA

Denmark Jadi Negara Pertama Di Eropah Tamatkan Penghantaran Surat

31/12/2025 03:43 PM

COPENHAGEN, 31 Dis (Bernama–dpa) -- Denmark menjadi negara pertama di Eropah yang menamatkan penghantaran surat awam apabila syarikat pos Sweden-Denmark, Postnord, pada Selasa menghantar surat terakhirnya, sekali gus menutup 401 tahun sejarah perkhidmatan pos, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Denmark antara negara paling digital di dunia dan jumlah surat merosot sebanyak 90 peratus sejak tahun 2000, menurut syarikat milik kerajaan itu pada Mac lepas ketika mengumumkan langkah berkenaan.

Menurut Postnord,  ia bercadang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada penghantaran bungkusan, selaras dengan peningkatan berterusan dalam aktiviti membeli-belah dalam talian.

Pada Selasa, perkhidmatan itu menghantar surat terakhirnya ke Muzium Komunikasi ENIGMA di Copenhagen, di mana ia akan menjadi bahan kekal pameran muzium berkenaan.

Perkhidmatan pos milik kerajaan itu mula menanggalkan 1,500 peti surat awam berwarna merah di seluruh negara pada separuh kedua 2025 dan menghentikan penjualan setem pada 18 Disember.

Sejak pertengahan Disember, pihak yang berminat boleh membeli satu daripada 1,000 peti surat yang disifatkan Postnord sebagai “secebis kecil warisan budaya Denmark”, secara dalam talian. Bergantung pada keadaannya, harganya antara kira-kira US$230 hingga US$320. Hasil jualan akan disalurkan kepada badan kebajikan.

Dalam tempoh beberapa hari, kesemua peti surat itu habis dijual.

Mulai Januari, sebanyak 200 lagi peti surat akan dilelong, termasuk beberapa yang direka oleh artis Denmark. Contoh peti surat lain, yang menjadi sebahagian daripada landskap bandar Denmark selama lebih 170 tahun, berkemungkinan ditempatkan di muzium.

Penghantaran surat di Denmark dikurangkan secara berperingkat dan menjadi semakin mahal sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2025, kadar pos paling murah bagi sepucuk surat dalam Denmark, dengan tempoh penghantaran sehingga lima hari, adalah hampir €4 (US$4.3).

Denmark bukan satu-satunya negara yang menyaksikan kemerosotan dalam perniagaan surat. Deutsche Post berkata ia akan mengurangkan 8,000 pekerjaan menjelang akhir tahun ini, manakala Royal Mail di United Kingdom sekian lama menggesa agar surat tidak perlu dihantar pada setiap hari bekerja.

Pada masa hadapan, rakyat Denmark masih boleh menghantar surat melalui syarikat logistik lain seperti DAO, sebuah syarikat logistik dan penghantaran swasta Denmark yang lebih kecil.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan