DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Pada Hari Dagangan Terakhir Tahun Ini

01/01/2026 01:03 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada hari dagangan terakhir 2025 hari ini berikutan kebimbangan pasaran terhadap prospek permintaan yang lebih lemah.

Peniaga David Ng daripada Iceberg X Sdn Bhd berkata pasaran ditutup lemah apabila para peserta kekal berhati-hati terhadap permintaan jangka pendek, terutamanya ketika menuju ke awal 2026.

“Harga minyak kacang soya yang rendah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) terus melemahkan sentimen pasaran, sekali gus menambahkan tekanan kepada harga minyak sawit di tengah-tengah permintaan lembap terhadap minyak sayuran global.

"Aktiviti pengambilan untung akhir tahun juga menyumbang kepada penurunan ini, apabila peniaga melaraskan dan menyusun semula portfolio mereka menjelang tahun dagangan baharu," katanya kepada Bernama.

Dari perspektif teknikal, beliau berkata harga MSM dijangka mendapat sokongan pada paras RM4,000 satu tan dengan paras rintangan segera pada RM4,150 satu tan.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2026 susut RM29 kepada RM3,998 satu tan, Februari 2026 turun RM21 kepada RM4,035 satu tan dan Mac 2026 berkurangan RM20 kepada RM4,050 satu tan.

Kontrak April 2026 susut RM17 kepada RM4,059 satu tan, Mei 2026 turun RM14 kepada RM4,056 satu tan dan Jun 2026 berkurangan RM5.0 kepada RM4,047 satu tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 47,655 lot daripada 50,131 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 258,194 kontrak daripada 257,679 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Januari Selatan turun RM20 kepada RM4,030 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan