AM

Fahmi Kongsi Pencapaian Tiga Tahun Kementerian Komunikasi

31/12/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkongsi sorotan pencapaian Kementerian Komunikasi sepanjang tiga tahun yang memberikan kesan besar kepada ekosistem komunikasi digital, infrastruktur teknologi, keselamatan Internet, pembangunan kandungan kreatif dan media serta penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.

Menerusi hantaran berserta video dalam media sosial, Fahmi menzahirkan penghargaan atas sokongan rakyat yang diterima beliau dalam menerajui kementerian itu, serta menekankan komitmen bagi menghadapi 2026 dengan semangat baharu.

"Terima kasih dan selamat tinggal 2025. Ayuh, kita hadapi 2026 bersama. Bring it on, 2026!" katanya. 

Antara pencapaian yang dikongsi menerusi video berdurasi 2 minit 11 saat itu ialah terdapat 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) termasuk satu pusat yang masih dalam pembinaan.

NADI telah dimanfaatkan oleh 1.9 juta pengguna, sekali gus memudahkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Selain itu, Kementerian Komunikasi mencatat kejayaan penting dalam pembentangan dan kelulusan beberapa rang undang-undang (RUU) di Parlimen termasuk RUU Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) (Pindaan) 2025, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Media Malaysia 2024, bagi memperkukuh tadbir urus media dan komunikasi negara.

Dalam usaha memperluas liputan teknologi, kementerian juga telah merekodkan pencapaian liputan 5G dengan 82.4 peratus di kawasan berpenduduk serta rangkaian 5G kedua, iaitu 61.3 peratus, selain menjadi negara pertama melaksanakan perjanjian Multi-Operator Core Network (MOCN) 4G enam hala.

Bagi memacu industri kreatif, Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik dan Skim Dana Padanan (SDP) telah menyokong sebanyak 299 projek penerbitan filem.

Selain itu, sebanyak 224 individu telah menerima dana industri muzik, selain sejumlah 13,185 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.

Menerusi Tabung Kasih@HAWANA yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sebanyak 580 pengamal media telah dibantu.

Tabung berkenaan yang dilancarkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, merupakan simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mengangkat nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap peranan media.

Bagi peringkat global, Kementerian Komunikasi turut menjalinkan kerjasama dalam bidang komunikasi dan media Malaysia–Timor Leste, menyertai Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan serta menandatangani 15 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan 11 negara pada 2025.

Bagi memperkukuh keselamatan Internet, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 8,464 sekolah di seluruh negara dengan penglibatan sebanyak 369,000 pelajar.

Kempen itu turut dilaksanakan di 61 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan penglibatan 20,180 pelajar, manakala pada peringkat komuniti, program berkenaan dilaksanakan di 429 komuniti melibatkan penyertaan 257,593 peserta.

Selain itu, Kementerian Komunikasi turut mencatat pencapaian membanggakan melalui pengoperasian Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME), sistem komunikasi mudah alih berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, radio, Wi-Fi dan rangkaian selular bagi memastikan komunikasi berterusan semasa bencana.

Tiga unit PRIME telah berjaya diaktifkan, masing-masing di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Kejayaan kementerian ini didorong oleh sokongan padu rakyat serta komitmen berterusan untuk berkhidmat dan komited memperkukuh komunikasi nasional demi kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan negara," menurut paparan teks dalam video berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan