AM

Kedah Sasar Lebih Tujuh Juta Pelancong Sempena TMM2026

01/01/2026 12:11 PM

ALOR SETAR, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan kehadiran lebih tujuh juta pelancong untuk meneroka keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan keunikan ditawarkan di negeri itu bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani berkata kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai lokasi pelancongan menarik kepada pelancong sama ada di Langkawi mahupun di tanah besar.

“Tahun lepas, sebanyak tujuh juta pelancong datang ke Kedah dan jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan. Ini menunjukkan Kedah mempunyai daya tarikan kepada pelancong.

“Walaupun Langkawi merupakan tarikan utama di Kedah, banyak lagi destinasi pelancongan menarik di tanah besar. Jadi, kita akan tambah baik perkara yang perlu selain menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan pusat untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dzowahir berkata Kedah antara tarikan slow tourism apabila pelancong ke negeri itu memilih untuk melancong di kawasan kampung, desa dan pedalaman bagi mendapatkan suasana santai dan tenang.

“Trend sekarang, pelancong lebih suka melancong di kawasan kampung. Seperti di Kuala Lumpur, keadaan sibuk dan mereka yang tinggal di sana juga melancong ke Kedah untuk dapatkan suasana santai dan tenang dengan keluarga.

“Lokasi pelancongan seperti ini sudah pasti dapat menarik pelancong terutamanya dari luar negara. Jadi datanglah ke Kedah sempena TMM2026 kerana orang Kedah baik-baik dan suka menyambut kehadiran tetamu,” katanya.

Terdahulu, Dzowahir menyambut ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini pada 8.05 pagi, dengan mereka diraikan dengan alunan muzik tradisional dan kehadiran maskot rasmi TMM2026, iaitu Wira dan Manja selain turut menerima cenderamata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan