AM

Keselamatan, Kepelbagaian Budaya Tarik Pelancong Antarabangsa Ke Malaysia

01/01/2026 04:38 PM

SUBANG, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan selamat dan mesra keluarga sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan kepelbagaian budaya serta tarikan berbilang kaum kekal menjadi faktor utama pelancong antarabangsa ke sini.

Warga Jepun Kohei Oyamada, 44, berkata Malaysia dilihat sebagai destinasi sesuai untuk percutian seisi keluarga, khususnya dari segi keselamatan, kemudahan awam serta kepelbagaian pilihan makanan dan tarikan pelancongan.

“Malaysia antara destinasi pelancongan paling mesra keluarga. Ia selamat untuk kanak-kanak dan menawarkan banyak pilihan makanan. Kepelbagaian budaya juga menambah pengalaman semasa berkunjung ke pelbagai destinasi di sini,” katanya.

Oyamada berkata demikian ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini menerusi penerbangan transit dari Singapura hari ini.

Lelaki itu berkata kehadirannya ke Malaysia buat kali ketiga kali ini lebih bermakna apabila turut disertai isteri dan anak, sekali gus mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap imej Malaysia sebagai destinasi percutian keluarga.

Sementara itu, Ciara Blake, 24, dari Ireland berkata selain melawat ibu dan bapa saudara, kunjungannya ke Malaysia juga bertujuan untuk meneroka keunikan budaya dan gaya hidup tempatan, khususnya menerusi pengalaman gastronomi.

“Makanan sudah pasti menjadi tumpuan. Saya benar-benar tidak sabar untuk ke pusat penjaja dan mencuba (pelbagai makanan) sebanyak mungkin sebelum pulang,” katanya. 

Terdahulu, ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah diberi sambutan hangat sempena Majlis Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) anjuran Tourism Malaysia.

Majlis itu berlangsung serentak di 55 pintu masuk utama di seluruh negara termasuk lapangan terbang dan sempadan darat dipilih Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai sebahagian daripada pelancaran rasmi kempen TMM2026.

Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airports bagi lapangan terbang itu Ahmad Fakri Samsudin berkata mereka bersedia menerima lonjakan penumpang sempena TMM2026, selaras dengan peranannya sebagai pintu masuk strategik ke Lembah Klang.

Beliau berkata pelbagai usaha penambahbaikan sedang giat dilaksanakan bagi menyokong kelancaran kempen berkenaan selain mahu memastikan pengalaman terbaik kepada penumpang yang tiba di Malaysia.

“Kami menumpukan penambahbaikan di balai berlepas dan kaunter imigresen selain memastikan tahap kebersihan tandas serta suasana lapangan terbang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang melengkapkan peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai kelebihan dari segi lokasi kerana lebih hampir dengan ibu negara.

“Berdasarkan data kami, profil penumpang di sini kebanyakannya terdiri daripada pengembara perniagaan yang menggemari lokasi strategik serta proses pelepasan yang ringkas dan pantas,” katanya.

Beliau berkata Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah merekodkan peningkatan ketara pergerakan penumpang harian daripada 4,000 kepada 7,000 orang susulan pertambahan kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan.

Selain segmen korporat, lapangan terbang itu turut menjadi pilihan pelancong ke destinasi domestik popular seperti Langkawi, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu sejajar dengan usaha merancakkan pelancongan domestik di bawah TMM2026.

Pada masa ini, lapangan terbang itu mengendalikan kira-kira 15 penerbangan jet dan 25 penerbangan Avions de Transport Régional (ATR) setiap hari yang menghubungkan penumpang ke lima destinasi antarabangsa termasuk Singapura; Jakarta, Indonesia; Hong Kong dan Kunming, China selain semua lapangan terbang antarabangsa utama di Semenanjung Malaysia.

Kempen TMM 2026 bermula secara rasmi hari ini menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, iaitu sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur.

Festival kira detik yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan permulaan usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan