AM

200 Penghantar P-Hailing Padang Serai Terima Kotak MADANI

01/01/2026 07:21 PM

KULIM, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 200 penghantar p-hailing di kawasan Parlimen Padang Serai di sini menerima Kotak MADANI sempena sambutan tahun baharu 2026 hari ini.

Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi meraikan dan menghargai peranan yang dimainkan oleh "wira jalanan" terbabit dalam merancakkan ekonomi setempat.

"Program hari ini merupakan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail... sebanyak 200 Kotak MADANI diagihkan kepada penghantar p-hailing.

"Kita sedar masa mereka banyak dihabiskan di atas jalan raya... jadi, sempena tahun baharu 2026, kita agihkan kotak berisi makanan siap saji bagi memudahkan mereka makan," katanya kepada Bernama di pusat khidmat rakyat berkenaan di Lunas dekat sini.

Beliau berkata program itu adalah yang pertama diadakan membabitkan penghantar FoodPanda, GrabFood, Misi, ShopeeFood serta Lalamoverider, dan ia akan diteruskan pada masa hadapan.

"Hari ini, ramai yang hadir walaupun ada kekangan masa dengan tugas masing-masing... saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi meluangkan masa," katanya.

Sementara itu, Muhammad Effendi Talib, 49, berkata sejak menjadi pemandu p-hailing tiga tahun lepas, ini adalah kali pertama dia mendapat sumbangan sedemikian.

"Bila diraikan seperti ini, kami rasa gembira dan sangat dihargai... biasanya, pada awal tahun, macam-macam persediaan yang perlu dibuat selaku ketua keluarga termasuk belanja persekolahan, dan sumbangan ini secara tidak langsung meringankan beban kami," katanya.

Bagi Muhammad Hakimi Zamri, 22, pula, dia teruja dan sangat bersyukur dengan inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI yang sentiasa prihatin dengan semua peringkat rakyat terutama golongan B40.

"Ini kali pertama penghantar makanan seperti kami diraikan... selalunya, kami yang kerja menghantar makanan ini memang makan tidak menentu.

"Bila dapat sumbangan makanan siap saji seperti ini, ia bukan sahaja menjimatkan masa malah sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan