JENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa Kedua Lemas Di Pantai Sura Tengah Ditemukan

02/01/2026 11:20 AM

DUNGUN, 2 Jan (Bernama) -- Mangsa kedua yang lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Sura Tengah dekat sini semalam, ditemukan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata Mohd Fazir Shafie, 37, ditemukan terdampar di pantai oleh anggota pasukan penyelamat pada 12.35 tengah malam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat pagi ini,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Pada 10.27 pagi semalam, Mohd Fazir, pemandu lori dari Kuantan, Pahang dikatakan cuba menyelamatkan kakaknya Nor Baizura, 39, yang lemas ketika mandi sebelum mereka dihanyutkan arus.

Nor Baizura, suri rumah dari Johor Bahru, Johor ditemukan lemas oleh anggota penyelamat pada 10.54 pagi hari sama. 

Kejadian berlaku semasa dua beradik itu yang pulang ke kampung sempena cuti Krismas berkelah di pantai itu bersama-sama 13 ahli keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan