JENAYAH & MAHKAMAH

Suri Rumah, Penganggur Didakwa Cubaan Membunuh Suami Wanita Terbabit

02/01/2026 01:44 PM

JOHOR BAHRU, 2 Jan (Bernama) -- Seorang suri rumah dan penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh suami wanita terbabit pada akhir Disember lepas.

N. Egavalli, 46, dan rakan lelakinya R. Kamala Sarna, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan membunuh terhadap G. Kumaresan, 48, (suami tertuduh wanita), dengan cara menutup muka mangsa menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian di Taman Ehsan, Johor Bahru, kira-kira 9.30 malam, 22 Dis lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Bharathi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan syarat dua penjamin warganegara bagi setiap tertuduh, menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 3 Feb depan untuk sebutan semula kes. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan