DUNIA

Belgium Hantar Pasukan Perubatan Ke Switzerland Susulan Kebakaran Bar

02/01/2026 06:56 PM

MOSCOW, 2 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Belgium akan menghantar satu pasukan perubatan ke Switzerland susulan kebakaran sebuah bar, di pusat peranginan ski, Crans-Montana dan turut menawarkan rawatan kepada tujuh mangsa, kata Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Belgium akan bertindak secara solidariti dengan pihak berkuasa Switzerland dengan mengaktifkan Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah dan akan menerima lima pesakit yang mengalami kecederaan serius (melecur teruk) serta dua pesakit yang memerlukan rawatan perubatan peringkat pertengahan di hospital kami. Esok pagi, Belgium akan menghantar satu pasukan sokongan perubatan yang terdiri daripada seorang ketua pasukan, dua doktor dan dua jururawat pakar rawatan melecur,” kata Prevot menerusi platform X pada Khamis.

Pada malam Tahun Baharu, kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan (00:30 GMT), kebakaran tercetus di sebuah bar di pusat peranginan Pergunungan Alps Switzerland, Crans-Montana yang popular. Pihak berkuasa memaklumkan semua hospital di wilayah Valais kini sesak berikutan jumlah mangsa yang ramai, dan pesakit turut dipindahkan ke hospital di Sion, Lausanne, Geneva dan Zurich.

Pada Khamis, Datuk Bandar Crans-Montana, Nicolas Feraud, berkata kira-kira 40 orang terkorban manakala 115 lagi cedera akibat kebakaran tersebut.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan