SEREMBAN, 3 Jan (Bernama) -- Reman terhadap lelaki disyaki terlibat kes letupan menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di Desa Palma, Nilai disambung tujuh hari bermula esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata perintah reman terhadap lelaki 62 tahun itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkipli di Hospital Tuanku Ja’afar di sini selepas tempoh reman berakhir hari ini.
“Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Alzafny berkata suspek kes letupan yang berlaku pada pagi 22 Dis ditahan di sekitar Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang 27 Dis dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki.
Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial