KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini memaklumkan bayaran balik cukai yang selesai diproses sepanjang 2025 berjumlah RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes.
Dalam satu kenyataan, LHDN berkata jumlah tersebut termasuk peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang diterima oleh LHDN pada 25 hingga 31 Dis, 2025.
“Dana tambahan RM3.5 bilion yang diperuntukkan telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia satu ke dua tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata kenyataan itu.
Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, LHDN komited untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung 2026.
LHDN juga menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul,” katanya.
Selain itu, LHDN berkata tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.
“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial