KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kerangka dasar yang dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat menangani cabaran struktur dan operasi yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif lain diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan pendekatan pragmatik untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan, meningkatkan produktiviti dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Langkah-langkah seperti pembiayaan tambahan kepada PMKS, bayaran balik cukai, pengecualian dan pengurangan cukai perkhidmatan serta penangguhan penalti untuk e-invois Fasa 4 akan meringankan beban aliran tunai syarikat dengan segera, pada masa sama membolehkan perniagaan memperuntukkan semula sumber kepada operasi, pengekalan tenaga kerja dan pertumbuhan,” katanya.
Sementara itu, MEF juga menyambut baik langkah fiskal dan pengawalseliaan yang mengurangkan kos pematuhan dan menambah baik urusan menjalankan perniagaan.
Ia termasuk peningkatan ambang pendaftaran untuk perkhidmatan pajakan dan sewaan, program pengakuan sukarela untuk duti setem dan pengecualian cukai perkhidmatan untuk sektor terpilih termasuk pembinaan dan input berkaitan pertanian.
“MEF seterusnya menyokong inisiatif yang memperkukuh akses pasaran dan permintaan domestik termasuk penyertaan 10,000 peniaga kecil ke dalam ekosistem Sumbangan Asas Rahmah dan pelancaran segera peruntukan tambahan untuk projek kecil dijalankan oleh kontraktor PMKS yang dikelaskan di bawah G1–G4,” katanya.
Dalam pada itu, MEF berkata penekanan kerajaan terhadap pembaharuan birokrasi termasuk pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan tanpa penggunaan kertas adalah seiring dengan seruan majikan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pentadbiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial