AM

Bantuan Segera Disalurkan Kepada SK Rampayan Susulan Banjir

06/01/2026 06:47 PM

KOTA KINABALU, 6 Jan (Bernama) -- Bantuan segera akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat banjir sejak dua hari lepas, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk membekalkan kira-kira 300  meja dan kerusi, 10 komputer dan satu pencetak, serta kira-kira 40 meja dan kerusi guru bagi menggantikan peralatan yang terjejas akibat bencana itu.

“Semua bantuan dan kelengkapan perlu dibekalkan segera serta dihantar ke sekolah ini sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin minggu hadapan (12 Jan) bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekolah itu.

Lawatan berkenaan turut disertai Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Jordan Jude Ellron dan pegawai daripada JPNS.

James berkata hasil pemantauan mendapati kerosakan melibatkan perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru, yang memerlukan tindakan segera sebelum sesi persekolahan diteruskan.

"Saya merakamkan penghargaan kepada JPNS atas tindakan pantas dalam menyelaras bantuan serta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua pihak yang terlibat yang telah membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan sekolah.

"Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat banjir. Kementerian akan terus memantau keadaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian akan digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera kepada sekolah yang terjejas sebagai sokongan tambahan kepada usaha pemulihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan