KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak terus meningkat manakala di Johor kekal setakat 4 petang ini, dengan keseluruhan mangsa ditempatkan di PPS di ketiga-tiga negeri sebanyak 1,777 orang.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada 1,418 orang daripada 498 keluarga petant ini, berbanding 1,399 orang daripada 488 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan peningkatan itu akibat pertambahan mangsa banjir di Tenom dan Beaufort.
Beaufort merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 595 orang daripada 198 keluarga, meningkat sedikit berbanding 587 mangsa pagi tadi, dengan dua lagi PPS baharu dibuka iaitu di Masjid Darul Ikhlas, Kampung Batandok Lubak dan Dewan Sri Dayang Shahbandar.
Di Tenom, mangsa banjir meningkat kepada 563 orang berbanding 535 orang sebelum ini susulan pembukaan PPS baharu di Sekolah Kebangsaan Saga, menjadikan keseluruhan lima PPS beroperasi di daerah itu.
Bagaimanapun, situasi banjir di Kota Belud menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurang kepada 260 orang berbanding 277 orang pagi tadi berikutan penutupan PPS Dewan Kampung Lentigi pada 2.30 petang.
Di SARAWAK pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu melaporkan 332 mangsa daripada 109 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri setakat 4 petang tadi.
Kesemua mangsa merupakan penduduk dari Kampung Kawang, Kampung Jenggalas, Kampung Rambai, Kampung Pintasan, Kampung Masjid, Kampung Kuala Lajung, Kampung Majelin dan Kampung Kelapa, Bekenu.
Sementara itu, di JOHOR Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata jumlah mangsa banjir kekal 27 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu Lima, Segamat, yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak sejak 28 Dis lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial