FOKUS BERNAMA

10 Tahun Jatuh Bangun, Nur Syahliza Kini Bangga Dengan Jijah Satay 

08/01/2026 11:16 AM
Daripada Balkish Awang

Lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan sate dan berulang kali menempuh kegagalan, Nur Syahliza Syafrial tidak patah semangat.

Setiap kali tersungkur, beliau bingkas dan kembali ke petak asal menyusun langkah baharu dengan lebih yakin yang akhirnya membuahkan hasil

Kini berbangga dengan jenama Jijah Satay yang kian mendapat tempat di hati pelanggan, wanita berusia 36 tahun ini yakin dirinya sekarang di landasan tepat untuk terus mara, mencipta nama sebagai antara usahawan berjaya.  

 

CARI DUIT POKET

 

Berkongsi cerita dengan Bernama tentang pembabitannya dalam perniagaan sate pada 2015, usahawan itu berkata niat asalnya cuma mahu mencari duit belanja selepas berhenti kerja sebagai kerani di sebuah bank di Taman Melawati, Hulu Kelang ketika hamil anak sulung yang juga kembar dua.

"Sebenarnya saya mahu cari duit poket selain hendak membantu suami sebab sebelum itu pernah bekerja dan sudah terbiasa pegang duit sendiri. Pada masa itu saya belum buat sate cucuk dengan lidi tetapi buat sate ‘wrap’ (bungkus) yang dibalut dengan capati, menggunakan bahagian dada ayam yang dipotong dadu dan diperap dengan rempah sate.

“Selepas hidangan itu siap, saya muat naik ke laman Facebook dan tidak sangka ada permintaan. Dalam sehari saya terima tempahan hampir 30 bungkus,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut dari rumah.

pic-2

Beliau yang menggunakan rempah perapan sate dihasilkan oleh bapanya Syafrial  Bahar yang juga penjual sate sebelum meninggal dunia pada 16 Feb 2023, ibu kepada lima cahaya mata ini menuruti trend pada waktu tersebut, iaitu hidangan “lunch box” yang dihantar terus kepada pelanggan.

"Cuma pada masa itu ramai peniaga yang menjual nasi dan lauk-pauk,  jadi saya pilih untuk berniaga sate ‘wrap’," katanya.

 

EPISOD JATUH BANGUN

 

Selepas setahun beroperasi dari rumah, terdetik di hati Syahliza untuk melangkah keluar dan berniaga secara terbuka. Beliau memilih satu lokasi di Sri Rampai, Setapak  dan menjual sate lidi bermula dari 6 petang hingga 2 pagi. Di situ juga lahirnya jenama Jijah Satay buat kali pertama.

"Tetapi berniaga di Sri Rampai itu satu tahun sahaja kerana sambutan tidak menggalakkan. Bayangkan, sehari hanya dapat untung RM5 dan adakala RM30. Akhirnya saya buat keputusan cukuplah berniaga di sini selain kasihan dengan anak-anak yang terpaksa ikut saya dan suami balik lambat," katanya.

Beliau tidak patah semangat dan kembali berniaga sate dari rumah dengan mencari idea lebih segar untuk penjualan satenya.

"Kali ini saya cari pembungkusan yang lebih menarik menggunakan kotak kek. Bagi membangkitkan aroma, sate saya susun beralaskan daun pisang,” katanya, menambah pelanggan pertamanya seorang penuntut universiti yang memuji kreativitinya.

"Selepas itu saya tidak menang tangan terima tempahan sate termasuk daripada hotel. Cabarannya ialah ketika itu saya bakar sate cuma guna kuali leper... memang tidak dapat menampung permintaan yang adakala mencecah 400 cucuk sehari.  

“Jadi saya tumpang bakar sate di rumah ayah yang tinggal berdekatan. Kali ini saya guna kaedah tradisional, iaitu bakar dengan arang,” katanya, menambah perniagaannya mendapat sambutan kerana tidak ramai peniaga sate yang membuat perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan.

pic-3

"Biasanya orang hendak makan sate kena pergi beli di kedai,” ujarnya dan menjelaskan kebanyakan pelanggannya tidak tahu yang beliau hanya berniaga dari rumah.

Berkongsi momen manis, Syahliza berkata pada 2018 beliau mendapat tempahan daripada Majlis Amanah Rakyat bagi menyediakan 30,000 cucuk sate untuk majlis jamuan raya agensi berkenaan.

"Ini antara kepuasan yang saya kecapi biarpun hanya berniaga di rumah dan hanya bermula dengan kuali leper. Daripada hanya puluhan cucuk kepada ribuan cucuk sate. Walaupun di rumah, (saya) tidak rasa seperti berniaga di rumah," katanya.

 

PERCUBAAN DEMI PERCUBAAN

 

Pada 2019 Syahliza melebarkan perniagaannya dengan membuka dapur pusat di Wangsa Melawati, namun perniagaan itu hanya bertahan selama setahun berikutan penularan pandemik COVID-19  yang bermula pada 2020. Wanita ini kembali menjalankan perniagaan dari rumah.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Syahliza menjual sate sejuk beku yang menerima permintaan tinggi. Akan tetapi, kekurangan ilmu serta tersilap percaturan menyaksikan usahawan ini tersungkur sekali lagi.

"Bayangkan, penat-penat buat dan usahakan sate ‘frozen’ ini rupa-rupanya saya hanya untung RM1 sahaja untuk setiap penjualan. Semua ini disebabkan ketiadaan ilmu,” katanya.

Bagaimanapun beliau bangkit semula dan membuka perniagaan kafe di Jalan Pahang dekat sini pada 2021. Sekali lagi beliau mengalami kegagalan disebabkan oleh kecetekan ilmu.

pic-6

“Hanya beroperasi setahun sebelum ditutup pada 2022. Saya kembali mengusahakan sate di rumah.”

Pengalaman itu membuka mata Syahliza untuk mengenal pasti punca kegagalan perniagaannya. Bersama-sama dengan suaminya Mohd Aiman Osman,37, usahawan itu akhirnya sedar kelemahan pengurusan dan pemasaran adalah punca perniagaannya tidak dapat bertahan.

Pada penghujung 2024, Syahliza kembali mengusahakan perniagaan dan menggunakan jenama Jijah Satay buat kali kedua.

“Saya memohon bantuan (modal) daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang kemudian kami jadikan modal pusingan perniagaan. Alhamdulillah, dari situ kami dapat mengumpul modal untuk membuka semula Jijah Satay dengan konsep dapur pusat, bertempat di Residensi Bistaria, Ampang," katanya yang berjaya menjual 120,000 cucuk sate semasa musim perayaan tahun lepas.

 

CIPTA KELAINAN 

 

Syahliza berkata sebagai anak kepada seorang penjual sate, sejak kecil lagi beliau sudah melihat pelbagai kisah dan ragam masyarakat ketika mengikut bapanya berniaga.

“Saya ikut ayah berniaga sejak berumur sembilan tahun. Ayah juga sediakan katering untuk majlis perkahwinan, jadi banyak pengalaman yang ditimba dari situ. 

“Saya seorang yang tidak banyak bercakap tetapi suka memerhati. Dari situ saya belajar dan selalu berfikir bagaimana hendak majukan bisnes dan jadikan ia lebih menarik, sebab apabila orang tengok kita biasa-biasa saja mereka pandang rendah," katanya.

pic-5

Sedar pembungkusan memainkan peranan penting, Syahliza mencari kelainan antaranya menyediakan sate dalam cawan plastik bagi memudahkan pelanggan menikmati hidangan itu tidak kira walau di mana  mereka berada.

"Sejak kecil lagi saya rimas tengok sate dalam plastik, kerana apabila hendak makan perlu buka getah ikatan, kemudian letak sate dalam bekas dan barulah dapat makan. Jadi, saya tercari-cari kaedah yang dapat memudahkan pelanggan.

"Suatu hari, saya tengah makan biskut coklat mini celup yang ada dua bahagian iaitu satu ruangan biskut manakala bahagian sebelahnya untuk celup coklat. Masa itu saya terfikir kenapa sate tidak dibuat begini... lagi mudah untuk pelanggan makan," katanya.

Tanpa membuang masa, Syahliza berusaha mendapatkan bekas sedemikian dan seterusnya memperkenalkan “sate cup”.

"Mula-mula orang pandang pelik dan ada yang menyindir. Mereka kata  ‘eh apa jual sate macam ini.. peliknya’.

"Syukur, sekarang kita terima tempahan sehari dalam 600 hingga 800 cawan sate. Selain itu, pelanggan boleh menempah sate yang diisi dalam kotak tebal memuatkan 50 cucuk beralaskan daun pisang, lengkap dengan nasi himpit, timun dan bawang manakala kuahnya diletakkan dalam mangkuk plastik, sekali gus memudahkan pelanggan makan semasa majlis keraian," katanya.

 

RESIPI TURUN-TEMURUN

 

Mengenai resipi sate, Syahliza berkata beliau menggunakan resipi arwah bapanya yang ada keistimewaan tersendiri.

"Ayah berniaga sate sejak 1984, dan dia selalu buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi menghasilkan sate yang lebih sedap. Resipi yang saya warisi ini menggunakan lebih 20 jenis rempah perapan. Istimewanya sate kami mempunyai aroma enak selain tidak mempunyai hampas serai.

“Ini hasil maklum balas pelanggan kerana sate yang ada hampas serai dapat mengganggu pelanggan untuk menikmati sepenuhnya rasa sate,” katanya yang menawarkan sate daging, ayam, kambing dan perut dengan harga bermula RM1.50 secucuk.

Beliau juga amat menjaga kualiti dan memastikan setiap sate seberat 22 hingga 25 gram.

pic-4

Selain itu Jijah Satay turut menyediakan sate sejuk beku, lengkap dengan kuah kacang yang dihantar ke seluruh negara.

Syahliza turut berkongsi pengalaman menerima maklum balas daripada pelanggannya yang merupakan pesakit kanser.

"Pelanggan itu beritahu dia boleh makan sate Jijah Satay sebab dibakar tanpa menggunakan arang," katanya yang turut membekalkan sate kepada mereka yang berminat untuk beniaga.

 

TEMPAT KETIGA PROJEK BANGKIT

 

Pada Disember lepas, Syahliza yang berhasrat menambah modal bagi memastikan kelangsungan perniagaan, menyertai Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan anjuran MAIWP dengan kerjasama stesen televisyen TV AlHijrah.

Program tersebut menyasarkan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan untuk mengubah taraf hidup melalui perniagaan, menawarkan geran modal RM50,000 serta tajaan promosi RM1 juta selain bimbingan usahawan. Program yang berlangsung selama lapan minggu bermula Oktober 2025 itu menampilkan 21 peserta.

Syahliza berjaya meraih tempat ketiga dan menerima geran modal sebanyak RM15,000. 

Bercadang mengembangkan jenama Jijah Satay menerusi pembukaan beberapa cawangan dalam tempoh beberapa tahun lagi, usahawan itu menitipkan nasihat kepada suri rumah yang berhajat mencari pendapatan sampingan agar tidak silu untuk mencuba serta tidak mudah berputus asa.

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan