AM

Program Belia Generasi Selangor @ UIS Perkukuh Mobiliti Sosial, Tangani Pengangguran

09/01/2026 10:48 AM

BANGI, 8 Jan (Bernama) -- Program Belia Generasi Selangor @ Universiti Islam Selangor (UIS) diperkenalkan bagi memperkukuh mobiliti sosial belia di Selangor menerusi latihan berasaskan industri, sekali gus menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran kerja.

Program anjuran UIS dengan kerjasama strategik DHS Hospitality Academy Sdn Bhd, Akademi Hospitaliti Daya Siswa (ADHS), McDonald's Malaysia serta sokongan Yayasan Selangor itu merupakan program hospitaliti tajaan penuh yang menyasarkan belia berumur 17 hingga 25 tahun termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia yang tidak menamatkan SPM, graduan menganggur serta komuniti B40 dan M40.

Naib Presiden Kanan McDonald’s Malaysia Azhar Darbi berkata syarikat itu tampil sebagai antara rakan strategik utama dengan menyediakan hingga 2,000 peluang penempatan setahun kepada peserta program berkenaan.

Azhar yang juga Ketua Pegawai Sumber Insan McDonald’s Malaysia berkata peserta program akan ditawarkan menyertai Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam penyediaan makanan dengan keseluruhan kos termasuk elaun bulanan, penempatan dan yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh McDonald’s.

“Selepas tamat SKM Tahap 3, peserta mempunyai pilihan sama ada menyambung pengajian di UIS yang ditaja penuh oleh McDonald’s bagi mereka yang layak dan cemerlang, atau meneruskan ke Diploma Kemahiran Malaysia seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UIS,” katanya pada sidang media program itu di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Naib Canselor UIS Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Raja Nazirin Shah Raja Mohamad dan Pengarah Kumpulan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd Dr S. Sri Kumar.

Sementara itu, Mohd Farid Ravi berkata program itu dirangka bagi menangani jurang antara kelayakan akademik dan kebolehpasaran belia, khususnya dalam sektor hospitaliti dan perkhidmatan makanan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran operasi sebenar, bukan sekadar pengetahuan teori.

Beliau berkata UIS memanfaatkan kekuatan institusi itu melalui ekosistem latihan menyeluruh merangkumi fasiliti, tenaga pengajar, penginapan serta modul pembangunan diri dan kerjaya, dengan matlamat memastikan peserta bukan sahaja memperoleh pekerjaan malah mempunyai laluan perkembangan kerjaya tersusun yang mampu menyokong mobiliti sosial dan peningkatan taraf hidup.

Pengambilan pertama program itu, katanya dijadualkan pada Mac ini dengan yuran pendaftaran sebanyak RM200 bagi peserta yang layak.

“Kita mahu peserta, ibu bapa dan penjaga jelas bahawa program ini bukan sekadar kursus. Ini ialah laluan terancang daripada latihan kepada pekerjaan dengan rakan industri yang benar-benar bersedia menerima dan membimbing peserta ke peringkat seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Nazirin Shah menyifatkan program berkenaan sebagai satu inisiatif penting dalam menangani isu keciciran pelajar dan masa depan belia khususnya di Selangor memandangkan jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM pada tahun lepas menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju serta peluang masa depan golongan berkenaan.

“Kami amat bersyukur UIS tampil dengan inisiatif ini kerana ia membuka ruang untuk mencari penyelesaian jangka panjang kepada isu pelajar keciciran dan graduan yang tidak mempunyai laluan kerjaya yang jelas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan