AM

Saberkas Berperanan Penting Jadi Pemangkin Perpaduan, Pembangunan Belia Sarawak

08/01/2026 10:01 PM

SIBU, 8 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan belia pelbagai kaum di Sarawak melalui pendekatan turun padang serta keterlibatan berterusan di peringkat akar umbi.

Presiden Saberkas, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata organisasi belia terbesar di negeri itu kekal komited mendekati ahli di peringkat cawangan selepas setiap mesyuarat utama bagi memastikan suara belia didengari dan program yang dilaksanakan relevan dengan keperluan setempat.

“Dalam tempoh setahun lepas, Saberkas telah menganjurkan sebanyak 310 aktiviti di seluruh Sarawak, dengan program dilaksanakan hampir setiap hujung minggu. Ini membuktikan tahap keaktifan Saberkas di peringkat zon dan cawangan,” katanya pada Majlis Hi-Tea Bersama Saberkas Cawangan Zon Tengah di sini, hari ini.

Aktiviti tersebut merangkumi bantuan bencana, program kebajikan, pembangunan belia dan wanita serta inisiatif penyatuan masyarakat berbilang kaum, sejajar dengan realiti Sarawak yang mempunyai 34 suku kaum.

Menurut beliau, keupayaan Saberkas mengurus program, kewangan dan kebajikan ahli secara berkesan turut membolehkan pertubuhan itu mendapat pengiktirafan daripada  pelbagai pihak termasuk badan belia di peringkat Persekutuan.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan Saberkas bukan sekadar organisasi belia biasa, di mana keanggotaannya merangkumi pelbagai kaum dan latar belakang, dengan fokus menyatukan rakyat serta membina kepimpinan belia berteraskan ‘Sarawakian Outlook’ yang mengutamakan kepentingan semua komuniti.

“Kedudukan kewangan Saberkas berada pada tahap stabil dan terus menunjukkan peningkatan setiap tahun hasil pelaburan serta pengurusan dalaman yang berhemah, sekali gus membolehkan dana diagihkan secara konsisten kepada cawangan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti,”katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata kepimpinan Saberkas perlu terus memperkukuh tadbir urus organisasi, terutamanya berikutan kemungkinan penambahan cawangan baharu susulan perubahan persempadanan kawasan tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat untuk melihat Saberkas memiliki kemudahan sendiri, termasuk bangunan dan pasukan pancaragam pada masa hadapan, sebagai simbol kekuatan dan identiti pertubuhan belia berkenaan.

Pada majlis tersebut, Abdul Karim menyampaikan cek cura berjumlah RM491,000 kepada 24 Saberkas Cawangan Zon Tengah bagi penganjuran pelbagai aktiviti pertubuhan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan