EKONOMI

Brahim’s Rancang Kembang Dapur Katering Di PIA Tahun Ini, Tampung Peningkatan Permintaan

09/01/2026 09:55 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Brahim’s Dewina Group of Companies (Brahim’s) merancang mengembangkan dapur katering dalam penerbangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata beliau menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan, terutamanya dari China, akan menawarkan perkhidmatan penerbangan ke Pulau Pinang tahun depan, yang dijangka menyumbang kepada ketibaan pelancong yang lebih tinggi ke negeri itu.

“Pelancong China datang ke Pulau Pinang kerana ramai penduduk tempatan boleh bertutur dalam bahasa mereka, menjadikannya lebih mudah untuk mereka berkomunikasi. Ramai daripada mereka juga menyukai makanan tempatan kita, terutamanya durian udang merah, dan hasilnya, kekerapan penerbangan semakin meningkat.

“Pada masa yang sama, saya juga mendengar bahawa kerajaan negeri sedang membesarkan lapangan terbang, jadi saya memutuskan untuk meluaskan dapur di PIA bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, Brahim’s menyediakan perkhidmatan kepada 18 syarikat penerbangan di PIA.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ibrahim berkata, anak syarikat kumpulan itu, Brahim’s Food Services Sdn Bhd kini menyediakan perkhidmatan kepada 31 syarikat penerbangan yang terbang ke KLIA, termasuk 10 syarikat penerbangan antarabangsa utama seperti Qatar Airways, Emirates, Japan Airlines (JAL), All Nippon Airways (ANA) dan Turkish Airlines, antara lain, membekalkan makanan dalam penerbangan kepada penumpang.

Beliau berkata Brahim’s Food Services kini stabil, selepas berjaya menangani masalah berkaitan Lesen Pengendalian Darat (GHL), yang kini telah dikeluarkan.

Selain itu, Ibrahim berkata kumpulan tersebut juga merancang untuk memulihkan kilangnya di Amman, Jordan, pada awal tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyokong bantuan makanan kemanusiaan bagi Gaza.

Beliau berkata rakan kongsi mereka di Jordan memberikan sokongan penuh selain mendapat sokongan lisan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah.

“Untuk menyambung semula operasi, kami perlu membaiki dan memulihkan semua peralatan, dan mesin tersebut perlu diselenggarakan sebelum pengeluaran penuh dapat dimulakan.

“Kami berharap dapat membuka semula kilang menjelang suku pertama 2026, sekiranya semua isu pentadbiran dan bukan teknikal diselesaikan. Kami berharap dapat menerima sokongan yang mencukupi untuk memulakan inisiatif ini tahun depan, dan NGO tempatan kami juga dapat membantu,” katanya.

 

Mengukuhkan Kehadiran Jenama Brahim’s Dalam Pasaran 

 

Walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar, Ibrahim berkata Brahim’s terus kekal berdaya tahan dan memainkan peranan penting dalam industri pembuatan makanan, terutamanya segmen halal.

Bagaimanapun, beliau berkata perniagaan teras kumpulan itu masih kekal sebagai perkhidmatan katering, meliputi syarikat penerbangan, kontrak ketenteraan dan katering universiti, dan berharap dapat mengembangkan kontrak kateringnya ke organisasi kerajaan.

Mengulas tentang persaingan yang semakin sengit dalam sektor pembuatan makanan, Ibrahim berkata Brahim’s kekal berada di landasan yang betul dan terus mencatatkan prestasi yang baik.

“Walaupun terdapat pelbagai jenis produk dalam pasaran, Brahim’s terus mengekalkan proses dan piawaiannya yang berkualiti tinggi.

“Produk kami terus mendapat permintaan. Dengan produk yang diperakui halal, kami juga menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan,” katanya.

Mengenai segmen halal, Ibrahim berkata kumpulan itu mendapat pengiktirafan global dengan mematuhi piawaian yang ketat.

Bagaimanapun, beliau berharap agar ASEAN dapat menerima pakai peraturan halal yang seragam untuk memudahkan perdagangan intra-ASEAN, sama seperti rangka kerja yang digunakan oleh Kesatuan Eropah (EU).

"Untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, kita memerlukan peraturan dan pengawalseliaan halal yang seragam dan pengiktirafan bersama, yang juga boleh membantu produk halal buatan ASEAN menembusi pasaran dunia," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan