AM

Bantuan SARA Rangsang Jualan Runcit

09/01/2026 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan itu, malah impaknya turut dirasai oleh peniaga runcit, pasar raya dan pembekal.

Bantuan itu bukan sekadar inisiatif di atas kertas, sebaliknya setiap pembelian oleh penerima SARA untuk kegunaan harian turut menyuntik aliran tunai kepada peniaga, menunjukkan bahawa ekonomi negara berkembang apabila manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat pelbagai lapisan.

Tinjauan Bernama di Pasar Raya BabaDona, di ibu negara, mendapati aktiviti jual beli kelihatan rancak apabila penerima SARA mula berbelanja membeli barangan keperluan asas selepas bantuan itu dikreditkan ke akaun mereka hari ini.

Pengurus pasar raya itu, Kamal Zahurin Khalid berkata pelaksanaan SARA memberi impak positif terhadap jualannya, dengan penggunaan kad pengenalan sebagai medium pembayaran yang dilihat praktikal dan selamat.

“Dari segi jualan, memang terdapat peningkatan sejak SARA diperkenalkan. Dari segi operasi pula, prosesnya mudah kerana pembayaran hanya menggunakan kad pengenalan, sistem pembayaran juga sering ditambah baik dan tidak kerap mengalami gangguan, jadi pelanggan lebih yakin untuk berbelanja,” katanya.

Kamal Zahurin berkata walaupun proses pendaftaran barangan pada peringkat awal agak mencabar kerana melibatkan pelbagai kategori barangan keperluan, ia kini bertambah baik apabila hampir 90 peratus produk telah didaftarkan di bawah sistem SARA.

Seorang pengurus pemasaran di syarikat pembekal beberapa pasar raya di ibu negara, Zaitun Shahril Reza berkata pelaksanaan SARA turut memberi impak besar kepada pembekal, termasuk peningkatan jualan antara 30 hingga 40 peratus berbanding sebelum bantuan itu diperkenalkan.

“Program SARA membantu meningkatkan jualan serta melancarkan rantaian bekalan kami. Banyak pasar raya melakukan pengisian semula stok dengan lebih cepat berikutan permintaan tinggi daripada pengguna,” katanya.

Beliau berkata pembekal yang berminat menyertai program itu perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta memenuhi kriteria ditetapkan sebelum produk disenaraikan di bawah SARA.

Dengan beberapa penambahbaikan diperkenalkan bagi memperluas manfaat, penyaluran SARA menyaksikan peningkatan ketara tahun ini, melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM8 bilion berbanding 5.4 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion pada tahun lepas.

Disalurkan secara berperingkat, pengagihan bermula hari ini yang dikreditkan secara terus terlebih dahulu kepada penerima isi rumah dan warga emas tiada pasangan dengan melibatkan lima juta penerima sebelum diluaskan kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Jan ini. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan