AM

Sultan Nazrin Berangkat Ke Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Lumut Port

09/01/2026 11:06 PM

IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) di Galasa Caldwell di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Mubarak Ali dalam sembah ucapannya berkata tahun 2015 merupakan satu titik perubahan yang amat penting kepada Lumut Port apabila syarikat itu memulakan perubahan semula secara strategik.

“(Perubahan itu) dipacu oleh tiga pelan strategik perniagaan yang bermula dari tahun 2016 hingga 2026 dengan jumlah perbelanjaan hampir RM400 juta, menggunakan 58 peratus dana sendiri dan mengurangkan dana daripada pinjaman bank,” katanya.

Mubarak Ali berkata Lumut Port berjaya melaksanakan kesemua pelan strategik perniagaan itu dan kini sedang merancang pelan strategik perniagaan yang keempat, merangkumi pelan untuk 20 tahun iaitu hingga tahun 2045 dengan pelaburan sebanyak RM550 juta.

Beliau berkata Lumut Port Terminal 2 bakal mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini, iaitu satu lagi mercu tanda penting dalam sejarah perjalanan Lumut Port.

Menurut Mubarak Ali, pelan strategik keempat Lumut Port merangkumi antaranya pembesaran Lumut Port Terminal 1 dan Lumut Port Terminal 2 bakal menjadi satu daripada terminal pengendali gas cecair asli dalam negara.

“Lumut Port Terminal 3 kini dalam fasa pembangunan dan direncanakan siap pada tahun 2027. Kami juga dalam proses untuk memuktamadkan tapak bagi pembinaan Lumut Port Terminal 4.

“Matlamat kami jelas iaitu memastikan Lumut Port kekal relevan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan serta terus menjadi pemangkin ekonomi negeri Perak,” katanya.

Pada majlis malam ini, Saarani turut menyampaikan Anugerah Pelanggan Lumut Port kepada 14 penerima dan plak penghargaan kepada kakitangan Lumut Port yang berkhidmat dari 1995 hingga 2025 kepada tujuh penerima.

Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkemuka negara Anuar Zain, sebelum Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat pulang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan