KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia pada Terbuka Malaysia 2026 selepas mara ke separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Gandingan pilihan kedua itu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menamatkan perlawanan dalam masa 34 minit dengan menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, dalam aksi suku akhir hari ini.
Selepas menang 21-19 pada set pertama, pasangan nombor dua dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan pada set kedua apabila mendahului 11-2 sebelum mencatat kemenangan 21-10, sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.
Keputusan itu lebih bermakna apabila ia merupakan kemenangan pertama Aaron-Wooi Yik ke atas gandingan ranking ke lapan dunia itu, selepas tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Kemenangan itu juga melayakkan Aaron-Wooi Yik melangkah ke separuh akhir kejohanan berkenaan buat kali pertama sejak edisi 2022.
Menanti juara dunia 2022 itu pada separuh akhir ialah satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, selepas gandingan pilihan keenam itu mengejutkan pasangan pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 21-10, 23-21.
Aaron berkata mereka tidak terlalu memikirkan rekod pertemuan yang tidak memihak menentang Sabar-Moh Reza dan memuji sokongan padu penonton yang menyuntik semangat untuk terus meningkatkan prestasi.
“Kami menumpukan kepada perlawanan tanpa memikirkan soal rekod pertemuan. Terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan, terutamanya pada set pertama, mereka membuatkan kami lebih yakin,” katanya.
Sementara itu, Wooi Yik berharap mereka dapat mengekalkan momentum dan menjadi gandingan pertama yang mara ke final Terbuka Malaysia dalam tempoh 12 tahun, sejak kali terakhir Goh V Shem-Lim Khim Wah beraksi pada pentas akhir dan menjuarai kejohanan itu pada 2014.
Pasangan pilihan kelima negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula tersingkir selepas tewas 14-21, 17-21 kepada pasangan pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam masa 41 minit.
Kai Wun mengakui beberapa kesilapan mudah memberikan kesan besar, menyaksikan mereka masih gagal mengatasi pasangan nombor satu dunia itu selepas enam perlawanan.
Terdahulu, juara dunia beregu campuran dan pilihan keempat, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dikejutkan oleh pasangan pilihan ketujuh dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 17-21, 21-17, 10-21 dalam masa 67 minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial