KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Malaysia Airlines memperkenalkan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Chengdu, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap pasaran China yang lebih luas serta mempertingkatkan kesambungan penerbangan antara Malaysia dan barat China.
Dalam kenyataan pada Sabtu, syarikat penerbangan itu menjelaskan langkah tersebut seterusnya menyokong aspirasi pelancongan Malaysia menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM026).
Permintaan juga tinggi, dengan penerbangan pertama MH526 yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Tianfu (TFU) pada 9 Januari, Jumaat merekodkan faktor muatan memberangsangkan sebanyak 91 peratus, tambahnya.
“Susulan penambahan destinasi Chengdu, Malaysia Airlines kini memberikan perkhidmatan bagi tujuh destinasi di seluruh China yang lebih luas, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran ini,” menurut Malaysia Airlines.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan, berdasarkan kekerapan penerbangan sebanyak tujuh kali seminggu, laluan tersebut dijangka menyokong permintaan perjalanan dua hala yang semakin meningkat di samping memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan.
Penerbangan itu juga menawarkan kesambungan yang lancar kepada penumpang untuk menuju destinasi di seluruh ASEAN, Asia Selatan dan Australasia menerusi Kuala Lumpur, jelasnya.
Pengenalan semua penerbangan bagi laluan Chengdu adalah sejajar dengan lanjutan Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, yang membolehkan tempoh tinggal lebih lama serta menggalakkan aliran perjalanan yang lebih besar antara kedua-dua negara.
Malaysia Airlines menjelaskan pelancaran semula itu turut menyerlahkan kekukuhan hubungan Malaysia-China keseluruhannya menerusi ekosistem Malaysia Aviation Group (MAG).
Ini termasuk operasi kargo khas oleh MASkargo pada 18 November lepas yang membawa panda gergasi baharu Malaysia dari Chengdu ke Kuala Lumpur mengikut perjanjian konservasi dua hala yang diperbaharu, tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial