AM

Ngauman Harimau Di Proton City, Perhilitan Hantar Petugas Untuk Pantau

10/01/2026 08:21 PM

IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan siasatan berhubung laporan orang ramai terdengar ngauman harimau berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City dekat Tanjong Malim.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi namun telah menghantar petugasnya untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata siasatan dilakukan berikutan tular satu video yang memaparkan bunyi ngauman harimau di platform media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Setakat ini, kami hanya menerima laporan berhubung dakwaan orang ramai terdengar bunyi ngauman harimau melalui aplikasi grup WhatsApp.

“Perhilitan sudah menghantar petugas untuk menyiasat perkara itu dan mereka akan ke lokasi untuk pemantauan serta tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu dalam rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 15 saat itu, kedengaran ngauman seperti harimau yang didakwa berhampiran hutan berdekatan sebuah sekolah menengah dan kawasan perumahan di Proton City, Tanjong Malim.

Sementara itu, seekor harimau kumbang jantan memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan Perak di Bukit Bangkong, di sini hari ini. 

Yusoff berkata mamalia berusia lingkungan tiga tahun dan seberat kira-kira 40 kilogram (kg) itu dipercayai memasuki perangkap yang dipasang sejak 9 Dis lepas, pada 4 pagi tadi.

“Dipercayai harimau kumbang ini cuba membaham anak lembu yang dijadikan umpan dalam perangkap yang kita pasang sejak sebulan lalu.

“Melalui pemeriksaan yang dibuat pegawai di lapangan, harimau berkenaan berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan dikesan pada mana-mana anggota badannya,” katanya.

Beliau berkata haiwan liar itu telah dibawa keluar dari lokasi berkenaan dan akan dilepaskan di habitat asal yang bersesuaian.

Pada 8 Dis lepas, penduduk Bukit Bangkong dibelenggu kebimbangan apabila dikejutkan dengan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang menyebabkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang.

Bertindak daripada aduan yang penduduk, Perhilitan Perak telah memasang sebuah perangkap dan dua kamera jejak bagi memastikan haiwan pemangsa berkenaan dapat diperangkap.

Yusoff berkata perangkap akan terus dipasang di lokasi sama memandangkan serangan terhadap haiwan ternakan itu dipercayai dilakukan oleh harimau belang berdasarkan kesan tapak kaki serta kelibat yang dirakam kamera jejak berdekatan lokasi perangkap dipasang. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk sekitar Bukit Bangkong supaya berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti di lokasi tersebut lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Saya juga menasihatkan penternak di situ memindahkan saki-baki lembu yang dipercayai masih berkeliaran di situ,” katanya sambil menjelaskan kawasan tersebut masih ditutup untuk aktiviti riadah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan