AM

Peningkatan Premis SARA Perkukuh Kelangsungan Peniaga Kecil

10/01/2026 05:32 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan meningkatkan bilangan premis untuk penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memastikan golongan peniaga kecil, kedai runcit tunggal dan tradisional turut menikmati manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Jika pada awalnya, lokasi penebusan SARA atau pembelian menggunakan kad pengenalan lebih tertumpu pada pasar raya dan rantaian peruncitan besar, kemudahan itu kini diperluas kepada lebih banyak kedai kecil dan kedai tunggal yang dekat dengan komuniti setempat.

Kementerian Kewangan pada 5 Jan memaklumkan, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026 bagi melengkapi cawangan pasar raya sedia ada, berbanding lebih 3,000 kedai kecil daripada 9,200 premis berdaftar setakat 23 Nov lepas.

Dengan beberapa penambahbaikan diperkenalkan, penyaluran bantuan itu menyaksikan peningkatan ketara jumlah penerima tahun ini, melibatkan 8.1 juta orang membabitkan peruntukan sebanyak RM8 bilion berbanding 5.4 juta penerima melibatkan peruntukan RM5 bilion pada 2025.

Pengurus Pasaraya T.S. Mega, Cheras di sini, Emilyn Teoh Mei Yeen berkata perniagaan mereka merosot kira-kira 30 hingga 40 peratus apabila SARA hanya boleh digunakan di pasar raya dan rantaian peruncitan utama, namun kembali pulih selepas premis itu berjaya mendapatkan kelulusan sebagai rakan niaga kira-kira empat bulan lepas.

“Kedai ini telah beroperasi lebih tiga dekad dan sangat dekat dengan komuniti setempat. Namun, sebelum ini, ramai pelanggan bertanya dan mengeluh mengapa tidak boleh membeli barangan menggunakan kad pengenalan (menerusi SARA)?

“Kebanyakannya golongan warga emas dan B40 yang menghadapi kesukaran untuk ke kedai lain kerana perlu berjalan jauh atau beratur panjang di pasar raya utama. Kini, mereka gembira kerana urusan menjadi lebih mudah,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memuji kecekapan pengurusan kerajaan apabila proses kelulusan hanya mengambil masa dua bulan, manakala wang jualan pula dikreditkan ke dalam akaun dengan lebih kerap, iaitu setiap dua hingga tiga hari.

“Sebagai peniaga, kami menghargainya kerana dapat balik duit dengan pantas, jadi kami boleh menggunakan wang itu untuk kos lain. Pada awalnya hanya ada satu terminal disediakan, tetapi ditambah satu lagi selepas pegawai melihat ramai pelanggan menggunakan SARA semasa lawatan mereka,” katanya.

Seorang lagi pengurus kedai berkenaan, Hamidah Aliamaran berkata kebenaran menjual barangan menerusi SARA turut membantu meningkatkan pendapatan kedai tunggal dan peniaga kecil sepertinya yang tidak mampu menyaingi kelebihan pasar raya besar atau rantaian peruncit utama.

Beliau berkata SARA kini dilihat sebagai misi serampang dua mata, iaitu meringankan beban rakyat yang memerlukan di samping membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

“Kami perasan juga, mereka yang susah, jika sebelum ini membeli beras murah, kini mereka dapat beli beras yang lebih berkualiti. Begitu juga dengan susu tepung, daripada jenama paling murah kepada pilihan yang lebih baik kerana ada sedikit lebihan peruntukan melalui SARA,” katanya.

Menurut laman web SARA, sebanyak 14 kategori barangan telah diluluskan, iaitu beras, telur, roti, biskut, tepung, minyak masak, makanan dalam tin, mi segera, produk penjagaan diri, keperluan sekolah, barangan kebersihan rumah, bahan perasa, ubat-ubatan serta minuman seperti susu, teh dan susu bayi.

Laman itu turut memaklumkan bahawa para peniaga boleh menghubungi pihak Yayasan MyKasih untuk penerangan lanjut bagi menjadi rakan niaga SARA, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Tinjauan Bernama di premis berkenaan mendapati beberapa pelanggan hadir menyemak baki SARA bagi bulan ini yang dikreditkan semalam, serta menggunakannya untuk membeli barangan keperluan.

Sementara itu, pemilik Pasaraya Eco Jimat di Kangar, Perlis, Lee Zheng Yi ketika dihubungi berkata peluasan SARA di kedai runcit membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil, di samping meningkatkan kuasa beli rakyat.

“SARA menyediakan bantuan kewangan khusus untuk barangan keperluan asas. Apabila penerima ada lebih kemampuan berbelanja, mereka lebih kerap membeli, terutamanya di kedai runcit, pasar mini dan pasar raya tempatan.

“Melalui SARA, peredaran wang bantuan dapat dipastikan kekal dalam ekonomi tempatan, berbanding bantuan tunai yang mungkin dibelanjakan di luar negara,” katanya yang menjadi antara pasar raya awal berdaftar untuk SARA.

Di Melaka, peniaga runcit JB Thiganeeswaran, 38, berkata skim bantuan SARA wajar diteruskan.

Beliau yang mengusahakan Tarzan Fresh Mart di Durian Tunggal berkata inisiatif itu bukan sahaja dapat membantu menampung perbelanjaan golongan berpendapatan rendah, malah menyokong kelangsungan perniagaan runcit tempatan.

SARA Bulanan 2026 telah mula disalurkan pada 9 Jan untuk lima juta penerima isi rumah dan warga emas tiada pasangan, dan akan diikuti 3.1 juta individu bujang pada 16 Jan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa Bantuan SARA RM100 sekali beri untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas akan disalurkan pada 9 Feb nanti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan