AM

Lebih 40 Lubang Di Laluan Sementara LTU 3BC Siap Dibaik Pulih

10/01/2026 09:56 PM

GUA MUSANG, 10 Jan (Bernama) -- Lebih 40 lubang jalan di laluan sementara projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3BC di Jalan Persiaran Raya berhampiran Taman Wangi di sini telah dibaik pulih semalam.

Pegawai Penguasa Unit Projek Khas ECER 1 Zulkhairi Abdul Aziz berkata kerja penampalan sepanjang kira-kira 700 meter itu disiapkan dalam tempoh tiga jam bermula pukul 10 malam.

Beliau berkata kaedah penampalan (patching) dipilih bagi memastikan pembaikan dapat dilakukan segera berikutan jangkaan peningkatan trafik sempena pembukaan sesi persekolahan.

“Perkhidmatan kontraktor LTU 3BC telah ditamatkan pada Oktober tahun lalu berikutan prestasi tidak memuaskan dan kegagalan menyiapkan projek.

“Ketiadaan kontraktor menyebabkan pelbagai kerosakan berlaku di laluan sementara ini, termasuk kerosakan jalan, lalang tidak dibersihkan serta ketidakaturan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) seperti papan tanda dan susunan penghadang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zulkhairi berkata kerja pembaikan itu juga memanfaatkan baki bahan turapan daripada projek pembaikan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya yang dilakukan kelmarin.

“Ahli Dewan Undangan Negeri Galas turut membantu mendapatkan 20 beg tambahan bahan turapan daripada syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd. Aliran trafik dikawal menggunakan kaedah ‘stop and go’ sepanjang kerja penampalan dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kaedah tampalan itu hanya bersifat sementara sebelum kerja penurapan penuh dilaksanakan oleh kontraktor baharu nanti.

“Jalan berisiko rosak kembali dengan cepat jika sering dilalui kenderaan berat terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika Monsun Timur Laut,” katanya.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati aliran trafik kembali lancar di laluan berkenaan walaupun permukaan jalan masih belum diturap sepenuhnya.

Seorang pengguna jalan raya Mohd Asyraf Ramli, 32, menyifatkan usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) LTU melakukan pembaikan awal sebagai langkah tepat menjelang pembukaan sekolah.

“Terima kasih kepada JKR LTU, wakil rakyat dan semua pihak yang terlibat kerana berusaha menyelesaikan masalah yang membebankan pengguna. Lazimnya Gua Musang dibanjiri kenderaan luar setiap Ahad, jadi diharapkan trafik esok lebih lancar,” katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan