JENAYAH & MAHKAMAH

43 Kes Buli Libat Pelajar Sekolah Di Kedah Tahun Lepas

11/01/2026 11:30 AM

ALOR SETAR, 11 Jan (Bernama) -- Kes buli membabitkan pelajar sekolah di negeri ini meningkat kepada 43 kes tahun lepas berbanding 10 kes yang dicatatkan pada 2024.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata angka itu membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan 330 peratus dengan sekolah menengah mencatatkan 32 kes, sekolah rendah (sembilan) dan sekolah persendirian (dua).

“Bagi tempoh yang sama, 31 individu (kes buli) telah ditangkap dan 11 daripadanya telah dituduh di mahkamah. Saya ingin memberi peringatan tegas bahawa tiada perlindungan terhadap sebarang perlakuan jenayah, walaupun pelaku bawah umur atau murid sekolah.

“Undang-undang akan tetap dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya semasa melawat Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini hari ini.

Beliau berkata sekolah seharusnya menjadi zon selamat kepada semua pelajar untuk menimba ilmu, membina sahsiah dan membentuk masa depan, bukannya tempat berlaku jenayah seperti keganasan, ugutan dan penyalahgunaan dadah.

“Polis amat prihatin tentang masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya murid dan bagi mengatasinya, kerjasama yang tersusun di antara polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dilihat mampu membendung isu berkenaan.

“Jika berlaku sebarang bentuk buli, ugutan atau perlakuan yang menjejaskan keselamatan, murid tidak perlu takut untuk laporkan kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa. Kita juga meletakkan seorang pegawai sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang berperanan sebagai penghubung antara sekolah dan polis,” katanya.

Sementara itu, Adzli berkata sepanjang tahun lepas menyaksikan 90 kes rogol yang melibatkan mangsa bawah umur direkodkan di Kedah dengan 78 kes berlaku di sekolah menengah dan 12 kes melibatkan murid sekolah rendah.

“Situasi ini amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius. Berdasarkan siasatan, sebahagian besar kes rogol ini melibatkan murid sekolah yang berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral termasuk faktor pergaulan bebas, kepercayaan yang disalah guna serta kecuaian dalam menjaga batas pergaulan.

“Setiap murid perlu memahami tiada siapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan terhadap diri sama ada secara fizikal, emosi dan media sosial. Jadi, jangan sesekali mendiamkan diri dan laporkan segera kepada guru, ibu bapa, penjaga atau pegawai PPS supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan