BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 AM

Insiden Ternakan Berkeliaran Jejas Operasi Tren Pantai Timur - KTMB

11/01/2026 12:51 PM

KUALA KRAI, 11 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdepan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000 setahun susulan insiden perlanggaran haiwan ternakan di landasan yang bukan sahaja merosakkan aset, tetapi juga mengganggu kelancaran operasi tren di Pantai Timur.

Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi KTMB Sadun Abdullah berkata kejadian itu turut menjejaskan penternak sendiri apabila haiwan ternakan mereka mati akibat dilanggar.

Beliau berkata insiden melibatkan ternakan berkeliaran di sepanjang laluan Gemas-Tumpat dilaporkan berlaku hampir setiap minggu, dengan trend menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Setiap halangan di landasan memberikan kesan kepada jadual perjalanan, keselamatan operasi dan kualiti perkhidmatan, sebab itu KTMB merayu kerjasama penternak untuk memastikan ternakan mereka tidak dibiarkan bebas berhampiran trek,” katanya kepada pemberita pada Program KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur bersempena dengan Pembukaan Sekolah Sesi 2026 di sini hari ini.

Bagi menangani isu berulang itu, KTMB melaksanakan beberapa langkah termasuk khidmat nasihat kepada penternak, kempen keselamatan serta pertemuan bersama dengan ketua kampung di kawasan terbabit.

Sadun berkata KTMB turut memperluas hebahan awam dengan mengedarkan risalah keselamatan ke surau dan masjid berdekatan bagi meningkatkan kesedaran penduduk setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan